Kerajaan negeri masih belum membuat keputusan dan masih menerima cadangan berhubung calon pengganti isteri perdana menteri Rosmah Mansor sebagai canselor Universiti Industri Selangor (Unisel).
"Buat masa ini belum lagi (putuskan)," kata exco pendidikan negeri Dr Halimah Ali dalam sidang media di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam hari ini.
Turut hadir naib canselor Unisel Prof Datuk Dr Rosti Saruwono.
Sementara itu, ditanya tentang cadangan daripada perwakilan dalam Kongres PKR yang mahukan bekas timbalan presiden parti itu Dr Syed Husin Ali dilantik ke jawatan itu, Dr Halimah menjawab ia hanyalah satu cadangan.
Pada 28 November lalu, wakil Srikandi PKR Farah Afzan Faridi membuat cadangan itu kerana beranggapan Dr Syed Husin merupakan calon yang lebih baik daripada Rosmah.
Dr Syed Husin pula terus menolak cadangan itu dan mencadangkan kembali Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti Rosmah.
Pada 20 November lalu, Rosmah Mansor mengumumkan pengundurannya sebagai canselor bagi memberi tumpuan kepada pendidikan awal kanak-kanak melalui program PERMATA.
