PAS meminta kerajaan supaya jangan mengeksploitasi sokongan padu rakyat yang membantah serangan Amerika Syarikat dan sekutunya terhadap Iraq untuk mencari keuntungan politik.

Malah, ahli jawatankuasa PAS pusat, Husam Musa juga menasihatkan kerajaan dan Umno supaya tidak menjadi isu itu untuk "menutup" masalah dalam negeri seperti kelembapan ekonomi dan sebagainya.

"Perang Iraq baru bermula sedangkan masalah-masalah dalaman seperti kelembapan ekonomi, kroni dan sebagainya sudah lama wujud. Jadi jangan gunakan perang Iraq untuk cuba menutup semua itu," kata ahli Parlimen Kubang Kerian itu kepada malaysiakini .

Husam ( kiri ) menegaskan demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak bahawa pencerobohan ke atas Iraq, telah memberi kesan tidak langsung terhadap politik negara, apabila kerajaan dan parti pemerintah dapat meraih sokongan padu rakyat.

Najib yang juga menteri pertahanan dilaporkan berkata rakyat turut bersetuju dengan cara kerajaan menangani krisis peperangan di Iraq dan Umno sendiri turut memainkan peranan yang selari dengannya.

Bantuan

Menurutnya, pendirian kerajaan seiring dengan aspirasi rakyat berbilang kaum di negara ini yang menentang keras tindakan Amerika melancarkan peperangan secara unilateral ke atas Iraq.

Bercakap selepas perjumpaan dengan jawatankuasa Badan Perhubungan Umno Kedah malam tadi, Najib berkata sebelum peperangan meletus, kerajaan telah mengambil beberapa pendekatan yang disukai rakyat dan secara diplomatik turut mencari jalan supaya konflik Amerika-Iraq diselesaikan.

Mengulas lanjut mengenainya, Husam berkata, serangan Amerika dan sekutunya terhadap Iraq turut dibantah oleh rakyat seluruh dunia.

"Apa yang kita mahu ialah kerajaan menterjemahkan bantahan itu dalam bentuk tindakan yang lebih meyakinkan rakyat bahawa kerajaan sebenarnya benar-benar menggunakan pengaruh dan kedudukannya untuk membantu Iraq," tegasnya.

Sebaliknya, kata beliau, dalam usaha memberi bantuan kemanusiaan kepada mangsa perang Iraq, pembangkang lebih ke hadapan apabila PAS sudah menghantar rombongan parti itu ke negara itu.

Tindakan konkrit

Rombongan itu, yang diketuai oleh Ahli Jawatankuasa Pusat parti itu, Dr Hatta Ramli tiba di lapangan terbang Doha, Qatar tengahari semalam, untuk membuat tinjauan di Iraq bagi membolehkan bantuan kemanusiaan dihantar kepada mangsa perang Iraq.

Turut sama ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub, Ketua Penerangan Pemuda PAS, Mohamed Hanipa Maidin , Ahli Parlimen Kuala Nerus, Syukrimun Shamsudin, dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Imail Noh.

PAS telah menubuhkan sebuah tabung khas untuk bantuan kemanusiaan Iraq dan pihaknya telahpun menyusun jadual petugas-petugas PAS bagi bantuan kemanusiaan Iraq yang akan menyusul sejurus selepas rombongannya kembali ke ibu negara.

Malah, kata Husam lagi, dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Pokok Sena, yang juga ketua Pemuda PAS, Mahfuz Omar, menggesa supaya Amerika dihadapkan di mahkamah dunia kerana menyerang Iraq.

"Selain itu, kita mesti mengenakan tekanan ekonomi terhadap Amerika dengan memulaukan barangan keluaran negara itu. Kita mahu melihat tindakan yang lebih konkrit dari kerajaan dalam menanggani isu perang Iraq sekarang," tegasnya.