Walaupun persekitaran di luar negara tidak menentu sekarang, Kementerian Kewangan mendapati Malaysia masih boleh mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahap 4.5 peratus pada tahun ini.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chan Kong Choy, pertumbuhan ekonomi negara akan diterajui oleh faktor domestik di samping sokongan daripada permintaan luar.

Beliau menegaskan demikian ketika menjawab soalan tambahan Hoo Seong Chang (BN-Kluang) mengenai langkah kementerian berkenaan bagi mengatasi masalah yang mungkin

menjejaskan ekonomi negara.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, katanya, punca-punca domestik dengan perbelanjaan pemindahan sektor swasta dijangka memainkan peranan penting dalam menjadi KDNK negara.

"Berasaskan kepada anggaran Bank Negara Malaysia (BNM) pada 26 Mac lalu semasa membentangkan Laporan Tahunan 2002, ekonomi negara pada tahun 2003 dijangka terus berkembang sebanyak 4.5 pertus.

Industri elektronik

KDNK bagi suku tahun keempat 2002 meningkat pada kadar 5.6 peratus berbanding 1.3 peratus pada sukuan pertama, 4.1 peratus pada suku kedua dan 5.8 peratus pada suku ketiga.

Menurut Chan, ia juga didorong oleh peningkatan permintaan di luar jangkaan berikutan pemulihan industri elektronik dunia, peningkatan prestasi sektor luar negara yang didorong oleh harga komoditi yang kekal kukuh dan peningkatan aliran perdagangan serantau.

Menurutnya, asas ekonomi negara akan terus mantap dan kukuh dan ini akan memberikan sokongan kepada peningkatan perbelanjaan pengguna dan pemulihan berterusan dalam kegiatan pelaburan swasta.

Katanya, semua itu membantu ekonomi negara mencatat pemulihan pertumbuhan lebih kukuh sebanyak 4.2 peratus bagi keseluruhan tahun 2002 berbanding 0.4 peratus pada tahun sebelumnya.

Kesan perang

Sementara itu, Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Fu Ah Kiow, berkata maklum balas awal daripada sektor swasta berikutan berlakunya perang Iraq ialah mereka mengalami kesukaran mendapatkan perkhidmatan penghantaran terus ke rantau Asia Barat.

Menjawab soalan Liew Teck Chan (BN-Gaya) beliau berkata, mereka juga terpaksa bergantung kepada perkhidmatan perantara dari Dubai atau Jabel Ali bagi penghantaran ke negara-negara lain di rantau itu.

Menurutnya, peserta Program Minyak Untuk Makanan pula menghadapi masalah penghantaran barangan kerana tersekat di Pelabuhan Umm Qasr, Iraq.

Kos pengangkutan bagi penghantaran kargo ke Asia Barat juga telah meningkat, antaranya kerana kenaikan premium insuran dan surcaj premium risiko peperangan.

Serangan Amerika Syarikat dan sekutunya terhadap Iraq sejak 20 Mac lalu juga menyebabkan penurunan permintaan barangan tekstil dan perkayuan kerana pembeli tidak berminat membuat tempahan baru.