Malaysia akan bertanggungjawab menentukan perjalanan Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Memerangi Keganasan yang ditubuhkan di Kuala Lumpur, kerana pembiayaannya ditanggung oleh kerajaan, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Mohd Shafie Apdal.

Oleh itu, katanya, penubuhan pusat itu, yang diilhamkan kerajaan Amerika Syarikat, akan diteruskan walaupun Malaysia tidak bersetuju dengan tindakan Amerika dan sekutunya menyerang Iraq.

Penubuhan pusat itu di Kuala Lumpur, katanya, berikutan serangan 11 Sept ke atas Amerika, disambut baik masyarakat antarabangsa, termasuk Malaysia dalam usaha membanteras keganasan.

Menurut Mohd Shafie, pembabitan Amerika Syarikat dalam pusat berkenaan hanya dari segi kepakaran, latihan dan peralatan.

Sumbangan tahunan AS

Katanya sumbangan Amerika melalui program Latihan Ketenteraan dan Pendidikan Antarabangsa (IMET) kepada Malaysia bagi tahun lalu ialah AS$831,000 (RM3.16 juta) dan AS$800,000 (RM3.04 juta) lagi diperuntukkan untuk tahun ini.

Bagaimanapun, Mohd Shafie berkata, Kementerian Pertahanan kurang pasti berapakah sumbangan kerajaan AS kepada keseluruhan program itu memandangkan bantuan di bawah program itu dihulurkan kepada beberapa negara termasuk Malaysia.

Menjawab soalan tambahan Dr James Dawos Mamit (BN-Mambong), Mohd Shafie berkata penubuhan pusat itu boleh mendatangkan banyak manfaat kepada negara.

Pengintip CIA

Ini termasuk dari segi latihan, pemindahan teknologi terbaru, kepakaran serta pertukaran maklumat mengenai keganasan sama ada dengan AS ataupun negara-negara yang akan mengambil bahagian dalam aktiviti berkenaan.

Menjawab soalan tambahan Dr Mamit ( gambar ) mengenai kemungkinan rakyat Amerika yang terbabit dalam program IMET adalah pengintip Agensi Perisikan Pusat (CIA), Mohd Shafie berkata, perkara itu tidak timbul kerana latihan IMET dijalankan di Amerika dan bukannya di negara ini.

Lagi pula, katanya, Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang menyertai program IMET tetapi turut disertai beberapa negara lain.

Menjawab soalan tambahan Ramli Ibrahim (Keadilan-Kota Bharu) ( gambar ), Shafie berkata dasar kerajaan untuk membanteras keganasan adalah jelas dan kerana itu bersetuju dengan penubuhan pusat itu.

"Memang kita bantah serangan Amerika ke atas Iraq, tetapi fokus kita (setuju tubuh pusat) adalah untuk banteras keganasan," katanya.

Kata beliau lagi, walaupun Malaysia mengecam keras pencerobohan Amerika dan sekutunya terhadap, masalah keganasan adalah suatu perkara berbeza yang perlu ditangani.

Ancaman pengganas

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Zainal Abidin Zin memberitahu dewan, seramai 18 anggota Kumpulan Mujahiddin Malaysia (KMM) dan 55 anggota Jemaah Islamiyah (JI) ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menjawab soalan yang dikemukakan oleh Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam), beliau berkata KMM tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan al-Qaeda.

"Hanya kumpulan JI didakwa mempunyai kaitan dengan al-Qaeda apabila empat lelaki Arab yang dipercayai anggota al-Qaeda di mana dua daripadanya kemudiannya terlibat dalam serangan 11 Sept 2001, tinggal di kondominium Yazid Sufaat sewaktu berada di Malaysia pada tahun 2000," tegasnya.

Katanya, Yazid yang ditahan di bawah ISA juga dikaitkan dengan anggota al-Qaeda Zacharias Moussoui yang didakwa di mahkamah Amerika Syarikat atas tuduhan terlibat dengan peristiwa 11 Sept.

"Siasatan ke atas kumpulan JI masih diteruskan dan kerajaan percaya tangkapan ke atas beberapa ahlinya telah melumpuhkan kumpuan itu," tambahnya.

Menurut Zainal Abidin lagi, memandangkan ancaman kumpulan JI mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas dari negara luar, maka kerajaan telah menjalin kerjasama dengan Indonesia, Filipina, Thailand dan Cambodia.

Kerajaan juga, katanya, telah menandatangani beberapa konvensyen dan protokol di peringkat antarabangsa.