Dewan Rakyat diberitahu hari ini bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak terikat dengan syor Lembaga Penasihat Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk membebaskan aktivis reformasi yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Zainal Abidin Zin, berkata dalam menjaga keselamatan negara ini,kerajaan tidak terikat dengan syor Lembaga Penasihat ISA dan Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia) berhubung dengan tahanan ke atas aktivis reformasi.

Sebelum itu, Datuk Kamaruddin Jaafar (PAS-Tumpat) bertanya mengapa kementerian menolak syor Lembaga Penasihat ISA supaya lima tahanan ISA iaitu Tian Chua, Saari Sungib, Lokman Noor Adam, Dr Badrul Amin dan Hishamuddin Rais, dibebaskan.

Menjawab soalan itu, Zainal Abidin berkata kerajaan mengutamakan hak asasi majoriti rakyat daripada menjaga kepentingan segelintir individu atau kumpulan yang didapati tidak mematuhi undang-undang dan peraturan negara.

Daya tarikan pelabur

Sementara itu, Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan Hashim Ismail, berkata pengenalan urusniaga bagi lot saham yang lebih kecil di Papan Kedua Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) akan menarik lebih ramai pelabur untuk menyertai pasaran, kata

Mulai hari ini, katanya, pelabur boleh membeli lot 100 unit bagi setiap urusniaga berbanding 1,000 unit sebelum ini.

"Kalau harga sebelum ini RM8 seunit atau RM8,000 satu lot, kini dengan RM800 kita boleh mendapat 100 unit. Ini akan menarik lebih ramai pelabur untuk menyertai pasaran," katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd Sarit Yusoh (BN-Temerloh) di Dewan Rakyat hari ini.

"Apabila pasaran aktif, ia akan mewujudkan lebih banyak kecairan di pasaran. Mereka juga boleh menyertai kaunter harga mahal (bluechip). Dengan ini, index komposit akan meningkatkan dan seterusnya memberi keyakinan kepada pelabuar untuk menyertai pasaran kita," tegasnya.

Sebelum itu, ketika menjawab soalan asal Mohd Sarit, Hashim berkata, kerajaan sentiasa meneliti prestasi pasaran kewangan dan saham di Malaysia dan luar negara, untuk menangani kesan negatif akibat perang di Iraq.

"Sebagai langkah proaktif Pemangku Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) telah menggunakan 10 langkah baru pada 11 Mac lalu untuk merangsang peningkatan pasaran modal negara," katanya.

Selain mengurangkan kos urusniaga dan menggalakkan penyertaan lebih banyak pelabur, langkah itu akan meningkatkan kecekapan dan kecairan pasaran, mempercepatkan proses kelulusan cadangan korporat dan menggalakkan penyenaraian syarikat besar di BSKL, katanya.

BSKL juga, katanya, mempunyai mekanisme untuk menangani kesan kejatuhan harga saham secara mendadak dalam jangka pendek bagi memastikan pasaran yang adil dan teratur.

Pakej rangsangan

Melalui mekanisme tersebut, kenaikan atau penurunan harga saham dihadkan tidak boleh melebihi 30 peratus daripada harga dalam sesi dagangan sebelumnya.

Sekiranya harga sesuatu saham itu meningkat atau jatuh sebanyak 69 peratus dalam masa dua hari berturut-turut, kenaikan atau penurunan harga saham itu akan dibekukan dalam sesi berikutnya.

Sementara di bawah sistem pemutus litar pula, aktiviti dagangan saham di BSKL dan Bursa Derivatif Malaysia (MDEX) akan dihentikan sekiranya Indeks Komposit BSKL jatuh melebihi paras yang ditetapkan.

Menjawab soalan tambahan Mohd Sarit kesan pengumuman 10 langkah untuk merangsang semula pasaran saham terhadap prestasi sebenar BSKL, Hashim berkata, kesannya tidak boleh melihat dalam masa yang singkat tetapi akan memastikan peningkatan dalam jangka masa panjang.

Menjawab soalan tambahan Che Ghani Che Ambak (PAS-Setiu) mengenai peratusan saham BSKL yang dibeli pelabur luar selepas kerajaan pakej rangsangan itu, Hashim berkata, prestasi BSKL meningkat 0.2 peratus dalam tempoh Januari hingga Mac lalu

Katanya, pasaran saham BSKL meningkat walaupun telah beberapa bursa saham utama dunia merosot seperti Hang Seng (jatuh 7.8 peratus), Dow Jones (jatuh 5.4 peratus), Strait Times Index Singapura (jatuh 5.1 peratus) dan Nikkei (jatuh 8.5 peratus).