Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rosmah lancar minyak wangi Melaka 'Sutra'
Diterbitkan:  Dec 15, 2010 5:27 PM
Dikemaskini: 10:53 AM

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini melancarkan minyak wangi Melaka jenama "Sutra" di Melaka, hari ini.

Sutra didatangkan dengan dua variasi iaitu Sutra Glory dihasilkan daripada pati bunga kemboja dan Sutra Heritage dihasilkan daripada pati bunga cempaka.

Turut hadir pada pelancaran itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan isteri Datin Seri Asmah Abdul Rahman.

Minyak wangi itu dihasilkan oleh Tropical Bioessence Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Bioteknologi Melaka, merupakan salah satu inisiatif bioteknologi Kerajaan Negeri Melaka.

Sementara itu, Pengarah Urusan Tropical Bioessence Sdn Bhd, Mohd Khairil Said berkata projek menghasilkan minyak wangi itu bermula pada Oktober tahun lalu.

"Idea ini datang daripada Ketua Menteri sendiri (Mohd Ali) yang mahu menghasilkan minyak wangi daripada bunga yang selalu ditemui di Melaka," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran tersebut.

Beliau berkata projek itu mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Martrade) dan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) bagi tujuan kajian, penghasilan dan pemasaran produk itu.

Katanya pada Mac tahun ini syarikat itu berkerjasama dengan sebuah syarikat minyak wangi di Perancis iaitu Charabot untuk menghasilkan minyak wangi daripada minyak pati yang telah dihasilkan perbadanan itu.

Mohd Khairil berkata setakat ini dua variasi minyak wangi Sutra itu dihasilkan untuk kegunaan wanita dan syarikat itu merancang menghasilkan minyak wangi untuk kegunaan lelaki pada tahun depan.

"Minyak wangi ini jenis Eau de parfum (minyak wangi dengan tujuh hingga 15 peratus pati pekat haruman) dan dijual dengan harga RM99 sebotol dengan isipadu 75ml," katanya.

Minyak wangi itu merupakan kesinambungan kajian pengektrakkan minyak pati yang dibuat oleh perbadanan itu sejak ia mula ditubuhkan pada tahun 2005 dan ia mula memasuki pasaran dalam negara pada tahun 2007.

- Bernama

ADS