Persempadanan semula kawasan pilihanraya di negeri Kelantan lebih menguntungkan PAS daripada Barisan Nasional (BN), kata ketua Pemuda Umno Kelantan, Mohd Rujahan Salleh.

Katanya, perkara itu turut dibincangkan dalam mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri yang menerima aduan daripada pihak bahagian yang tidak puashati dengan kawasan persempadanan semula itu.

Bagaimanapun, katanya, ini jelas menunjukkan tuduhan bahawa Umno telah mempengaruhi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dalam urusan persempadanan semula adalah tidak benar samasekali.

Namun begitu, katanya, perkara tersebut tidak akan mematahkan hati pemimpin negeri untuk bekerja keras bagi memastikan kemenangan yang lebih baik dalam pilihanraya umum akan datang.

Rakyat jemu

Mohd Rujahan menegaskan demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar mengenai kekecewaan Umno bahagian Peringat dengan persempadanan semula kawasan terbabit.

Ketuanya, Datuk Annuar Musa ( gambar ) dilaporkan berkata, persempadanan semula itu menyaksikan usaha-usaha untuk menawan semula ketiga-tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Peringat akan terancam.

Malah, katanya, nama Parlimen Peringkat juga mungkin ditukar kepada nama baru sebagai Parlimen atau bahagian Ketereh.

Mengulas lanjut mengenainya, Mohd Rujahan berkata, persempadanan semula di kawasannya sendiri di Parlimen Pasir Putih, juga tidak menguntungkan pihaknya.

Katanya, ini kerana keempat-empat kawasan DUN di Parlimen Pasir Putih kini termasuk ke dalam kategori "kawasan kelabu" bagi Umno.

Namun begitu, tegasnya, memandang sambutan menggalakan daripada rakyat terhadap program anjuran Umno bahagian, kewujudan 'kawasan kelabu' itu dijangka tidak menjejaskan prestasi Umno dalam pilihanraya umum akan datang.

"Dari apa yang dapat saya lihat, PAS pun tidak banyak mengadakan ceramah seperti sebelumnya. Kalau adapun, sambutannya tidak begitu menggalakan.

"Bila sudah lama memerintah, rakyat pun rasa jemu...ceramah pun kurang mendapat sambutan...itulah yang berlaku pada PAS Kelantan," tambahnya.

Kelantan mempunyai 14 kerusi Parlimen dan 43 kawasan DUN. Walaupun jumlah kerusi tidak bertambah, tetapi persempadanan DUN terbabit telah diubahsuai mengikut keperluan semasa.

Bersatu

Sementara itu, Mohd Rujahan berkata, pihaknya masih berharap pucuk pimpinan parti akan menimbangkan cadangan Umno negeri itu supaya senarai calon BN diumumkan lebih awal.

"Apabila diumumkan lebih awal, apa yang kita maksudnya ialah diumumkan awal sebulan atau dua minggu dari tarikh pilihanraya hendak diadakan. Itupun diumumkan kepada calon yang terpilih, bukan kepada umum," katanya.

Dengan itu, katanya, barisan calon yang terpilih dapat membuat persediaan lebih awal dalam menghadapi kempen pilihanraya yang bakal diadakan.

"Dalam pilihanraya umum 1999, senarai calon hanya diumumkan pada malam hari penamaan calon sehingga lewat 3 pagi," tambahnya.

Ditanya mengenai kemungkinan timbul rasa tidak puashati sekiranya senarai calon diumum lebih awal, Rujahan berkata, Umno Kelantan sekarang berbeza daripada Umno dahulu.

"Sudah berlaku perubahan dalam pucuk pimpinan. Saya tengok kita sekarang bergerak dalam satu kumpulan. Maknanya kita mahu lihat Umno memang dan kita akan pastikan Umno akan menang," tegasanya.