Kementerian Pendidikan diminta menyiasat dakwaan segelintir ibubapa bukan Islam yang mendakwa anak-anak mereka turut dipaksa memakai tudung selepas memasuki beberapa kolej matrikulasi di negara ini.

Malaysiakini

menerima beberapa e-mel daripada ibubapa bukan Islam yang bimbang dengan perkara itu yang mereka sifatkan sebagai 'tidak sepatutnya' berlaku.

Seorang penghantar e-mel itu berkata adik perempuannya telah mendapat tawaran untuk mengikuti kursus matrikulasi di Kolej Matrikulasi Pahang di Gambang, Pahang.

"Kerana bimbang mengenai khabar angin yang mengatakan pelajar matrikulasi perlu memakai tudung, maka beliau telah bertanyakan perkara itu kepada pihak sekolahnya, tetapi diberitahu ia tidak diwajibkan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, selepas tiga hari persekolahan bermula, apa yang berlaku adalah sebaliknya.

"Setiap pelajar telah diarah memakai tudung. Kerana tidak puashati dengan apa yang berlaku, saya menghantar e-mel ini kepada malaysiakini untuk mengetahui kedudukan sebenarnya," tegasnya.

Salah faham

Tambah beliau, sekiranya kerajaan menuduh Singapura tidak sensitif mengenai isu tudung di republik itu, maka kerajaan perlu menyiasat kejadian itu kerana ia berlaku di negara ini sendiri.

"Kami memerlu penjelasannya kerana ia tidak membawa apa-apa kebaikan jika dilaksanakan di negara ini yang mempunyai masyarakat pelbagai kebudayaan," tegasnya.

Sementara itu, pihak pengurusan Kolej Matrikulasi Pahang, ketika dihubungi menjelaskan bahawa ianya ianya berpunca daripada salahfaham.

"Tidak ada peraturan seumpama itu di sini. Yang digunakan ialah kain skaf untuk menutup atau mengikat rambuat yang menggerbang. Ianya sekeping kain, dan bukannya tudung dakwah," kata jurucakapnya.

Mengenai dakwaan adanya pelajar bukan Islam yang dipaksa memakai tudung, beliau berkata: "Selain menggunakan skaf, para pelajar juga dibolehkan memaki topi atau menggunakan riben untuk mengikut rambut.

"Cuma ada seorang pelajar, kalau tak silap saya, yang kurang fasih berbahasa Melayu. Dia bertanyakan perkara itu kepada fasilitator, tetapi dia tidak faham apa yang diterangkan kepadanya, lalu dia datang berjumpa dengan saya."

Berpakaian kemas

Menurutnya seramai 1,500 daripada 1,800 pelajar yang ditawarkan mengikuti kursus matrikulasi di kolej berkenaan, datang mendaftar.

Daripada jumlah, katanya, dianggarkan kira-kira 10 peratus daripadanya adalah pelajar bukan Islam.

Jurucakap itu juga meminta malaysiakini menghubungi Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan di Kuala Lumpur untuk mendapat penjelasan lanjut mengenainya.

Ketika dihubungi, seorang pegawai yang menjawab panggilan telefon itu meminta maklumat mengenainya dan berjanji untuk mendapatkan penjelasan daripada pegawai yang bertanggungjawab mengenainya.

Bagaimanapun, selepas empat hari mencuba, talian pegawai berkenaan sama ada tidak diangkat ataupun sentiasa digunakan.

Sebelum ini dakwaan yang sama timbul di Universiti Islam Malaysia (UIA) di mana pelajar bukan Islam dikatakan dipaksa memakai tudung untuk masuk ke kawasan kampus.

Bagaimanapun, Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan, Datuk Mahadzir Khir menafikan pekara itu tetapi menjelaskan bahawa memang pihak universiti mahu semua pelajar berpakaian kemas, tetap tidak semestinya memakai tudung.