Kerajaan PAS Terengganu tidak sepatutnya menggunakan alasan agama untuk 'menyembunyikan" alasan politiknya untuk memecat imam-imam yang tidak sehaluan dengan ideologi parti itu, kata ketua pemuda Umno Terengganu, Din bin Adam.

Beliau mendakwa alasan sebenar kerajaan Terengganu memecat imam-imam terbabit adalah bermotifkan sentimen politik.

"Ianya satu kezaliman apabila mereka dipecat. Alasan Majlis Agama Negeri memecat mereka kerana berusia lebih 65 tahun juga tidak boleh diterima, kerana ianya tidak berlaku sebelum ini.

"Orang yang layak menjadi imam tidak ramai...jika mereka sudah berusia 65 tahun, bermakna selama ini mereka diterima oleh penduduk setempat," katanya.

Harakah o­nline

hari ini memetik Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Engku Mohamed Engku A Rahman sebagai berkata semua imam dan bilal di negeri itu ditamatkan perkhidmatan masing-masing atas faktor umur melebihi 65 tahun.

Mengikut Engku Mohamed, imam dan bilal yang melebihi umur itu boleh disambung khidmat mereka atas persetujuan dan sokongan daripada jawatankuasa masjid berkenaan.

Diberi pilihan

Katanya, imam Masjid Mengabang Telipot, Sidek Abu Bakar, 65 dan Omar Mohamad, 67, adalah antara mereka yang tidak disambung perkhidmatan sebagaimana laporan sebuah akhbar harian semalam atas faktor umur.

Selain itu, kata Engku Mohamad, imam dan bilal yang aktif dalam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga diberi pilihan sama ada mahu aktif dengan JKKK atau mahu meneruskan khidmat masing-masing.

Berikutan, katanya, salah seorang daripada imam di Masjid Mengabang Telipot telah dipanggil untuk menjelaskan mengenai penglibatannya dengan JKKK yang tidak diiktiraf oleh kerajaan negeri.

Selepas berjaya merampas Terengganu dalam pilihanraya umum lalu, Kerajaan PAS telah menubuhkan jawatankuasa sura rakyat (JSR) untuk menggantikan JKKK. Bagaimanapun, JKKK yang ditubuhkan di bawah kerajaan pusat masih aktif di Terengganu.

Mengulas lanjut, Din mengkritik tindakan Kerajaan Terengganu menggunakan alasan JKKK untuk memecatkan imam-imam yang dianggap menyokong Umno.

Tiada kelulusan

"Ini jelaskan menunjukkan bahawa PAS menggunakan sentimen politik untuk bertindak terhadap mereka, khususnya para imam, yang tidak sehaluan dengan ideologi politiknya.

"Jika kerajaan PAS tidak mengiktiraf JKKK, jadi mengapa tindakan diambil terhadap mereka yang menganggotainya? Imam-imam yang menganggotai JKKK dipecat atas desakan JSR," tambah Din.

Beliau juga mempersoalkan status anggota jawatankuasa sura rakyat yang menurutnya tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan PAS Terengganu.

"Menurut Kerajaan Terengganu, anggota JSR ini mestilah berkelulusan Empat Senawi dan berlatarbelakangkan akademik.

"Tetapi tidak semua mereka yang dilantik menganggotai JSR memiliki kelulusan yang disyaratkan itu. Malah, mereka adalah orang kampung yang tidak pernah berpengalaman mentadbir dan menguruskan kampung," tegasnya.