Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Anggota keluarga kepada tiga remaja yang maut ditembak dalam satu kejadian pada 13 November lalu hari ini menuntut polis membuat penjelasan berhubung kes berkenaan.

Anggota keluarga itu diwakili peguam Fadiah Nadwa Fikri yang turut menyerahkan satu memorandum kepada ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar, antara lainnya bagi menggesa supaya segera mendedahkan siasatan berhubung kes berkenaan.

Tiga remaja berkenaan, Mohd Shamil Hafiz Shafie, 15, Mohd Khairul Nizam Tuah, 20, dan Mohd Hanafi Omar, 22, maut ditembak dalam kejadian pada awal pagi 13 November tahun lalu di Glenmarie, Shah Alam.

NONE Dalam memorandum berkenaan, peguam berkenaan turut menuntut supaya polis mengambil tindakan tegas, termasuk pendakwaan jenayah terhadap anggota yang bertindak melepaskan tembakan tersebut.

Memorandum itu juga mempertikaikan kenyataan pemangku ketua polis Selangor Datuk A. Thaiveegan berhubung kes berkenaan.

"Datuk A. Thaiveegan membuat dakwaan tak munasabah bahawa kesemua yang meninggal dunia merupakan 'penjenayah tegar'.

"Polis mendakwa suspek yang meninggal dunia itu merupakan sebahagian daripada geng yang dikenali sebagai 'Geng Minyak'.

"Mereka juga mendakwa bahawa suspek, apabila dikepung telah meluru ke arah polis dengan parang dan polis menembak mati kesemua mereka dalam mempertahankan diri (mereka).

"Kami dapati cerita daripada polis ini sangat tidak boleh dipercayai," menurut memorandum tersebut yang diserahkan oleh peguam Fadiah Nadwa Fikri.

Dalam memorandum itu juga, tuntutan dikemukakan supaya polis mendedahkan prosedur yang perlu diikuti oleh anggota polis sebelum melepaskan tembakan.

NONE Ia turut mempertikaikan, sekiranya benar suspek berkenaan hanya bersenjatakan parang dan bukannya senjata api, mengapakah perlu menembak mati kesemua remaja berkenaan.

"Adakah apa-apa tembakan amaran dilepaskan? Ianya sangat dipercayai bahawa orang bersenjatakan parang akan meluru ke dalam hujan peluru," memorandum itu dipetik.

Memorandum berkenaan diterima oleh pegawai perhubungan awam Bukit Aman Cif Insp Saipul Anuar Razali kira-kira jam 10.40 pagi ini.

Ketika bercakap kepada keluarga mangsa sebelum itu, Saipul Anuar memberi jaminan bahawa perkara itu akan dijelaskan oleh ketua polis negara sendiri.

"Insya-Allah pada hari Isnin ini ketua polis negara sendiri akan beri jawapan," kata Saipul Anuar lagi yang tidak dapat menjelaskan apakah status sebenar siasatan ke atas kes berkenaan.

Beliau sebelum itu diminta menjelaskan demikian oleh naib presiden parti itu N Surendran yang turut mengiringi keluarga mangsa berkenaan.

Turut mengiringi keluarga mangsa bagi menyerahkan memorandum itu ialah dua ahli parlimen PKR, R Sivarasa (Subang) dan Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai).

ADS