Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 24 Januari untuk mendengar bantahan awal permohonan semakan kehakiman pengarang Yong Thye Chong atas tindakan kerajaan menyita 33 bukunya bertajuk “The March to Putrajaya-Malaysia’s New Era Is At Hand.”

NONE Hakim Datuk Rohana Yusuf menetapkan tarikh itu di dalam kamar setelah dipohon Peguam Kanan Persekutuan Noor Hisham Ismail yang mewakili Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Penolong Penguasa Zul Azhar Mokhtar; Ketua Inspektor Nahar Yamen, Penolong Penguasa Mohd. Fahmi Daraman Sah dan kerajaan Malaysia.

Turut hadir peguam K Shanmuga yang mewakili Yong, 72, atau nama penanya ‘Kim Quek’ dan syarikat penerbitan Oriengroup Sdn Bhd.

Pada 3 November tahun lalu, Yong dan syarikat penerbitannya menuntut satu deklarasi bahawa penyitaan 33 buku itu pada 19 Ogos tahun lalu iaitu 20 buah di Popular Book Store di Megamall Kuantan, Pahang; Melaka Shopping Centre di Ayer Keroh, Melaka (empat buku); Popular Book Store di Cheras Leisure Mall, di Kuala Lumpur  (enam buku) dan Koperasi Kedai Buku Universiti Malaya Bhd. di Universiti Malaya (tiga buku) di Kuala Lumpur adalah batal dan tidak sah.

- Bernama