Mesyuarat cawangan dan bahagian parti Keadilan yang dijadualkan mulai bulan depan akan diteruskan sehinggalah pendaftaran parti gabungan Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) - Parti Keadilan Rakyat - diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.

Sehubungan itu, kata setiausaha agung Keadilan, Mustapha Kamal Ayub, perhimpunan agung parti Keadilan juga akan diadakan seperti yang dijadualkan pada Okt depan.

Dua minggu lalu. Mustapha dilantik sebagai setiausaha agung Keadilan manakala Khalid Jaafar pula kini menjadi ketua penerangan parti. Dr Xavier Jayakumar dan Saifuddin Nasution Ismail pula dilantik sebagai naib presiden parti.

Ketika ditanya mengenai pengisian jawatan dalam Keadilan sedangkan keputusan untuk bergabung dengan PRM sudah diputuskan, Mustapha berkata, perlantikan itu bertujuan melicinkan pertadbiran parti sehinggalah gabungan parti itu dengan PRM menjadi kenyataan.

Katanya, sebagai sebuah parti yang berdaftar, Keadilan perlu meneruskan perjalanan parti seperti sebelumnya dan ianya tidak memberi kesan kepada penubuhan Parti Keadilan Rakyat.

"Sebagai sebuah parti, kita kena menjalankan kerja-kerja kita dalam urusan pentadbiran, mesyuarat bahagian dan cawangan. Oleh itu, jawatan kosong parti perlu diisi untuk tujuan itu," kata Mustapha ketika dihubungi malaysiakini .

Kesepakatan

Mustapha merupakan salah seorang barisan pemimpin pro-Abim yang tewas dalam pemilihan pertama pucuk pimpinan Keadilan dua tahun lalu. Antara kempen mereka ialah menentang cadangan penggabungan Keadilan-Parti Rakyat Malaysia (PRM) ketika itu.

Beliau dan beberapa rakannya yang lain juga menolak tawaran presiden parti Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail untuk dilantik sebagai anggota Majlis Kepimpinan Tertinggi parti itu.

Oleh itu, perlantikan Mustapha sebagai setiauasaha agung, jawatan yang pernah dipegang oleh Anuar Tahir, seorang lagi pemimpin pro-Abim, menunjukkan telah wujud kesepakatan dalam parti Keadilan menerima pergabungan itu.

Penggabungan Keadilan-PRM akan melahirkan Parti Keadilan Rakyat yang sedang menunggu kelulusan pendaftarannya oleh pihak Pendaftar Pertubuhan.

Malahan, majlis pelancaran parti baru itu dijadual diadakan hujung bulan ini atau awal Jun depan.

Khalid pula melepaskan jawatan editor Berita Keadilan - lidah rasmi parti itu - tahun lalu kerana tekanan daripada pergerakan Pemuda parti itu yang tidak setuju dengan beberapa berita yang disiarkan dalam buletin itu yang menyentuh pergerakan itu.

Jawatankuasa bersama

Khalid adalah ahli majlis kepimpimpinan tertinggi Keadilan dan pengarah eksekutif Institut Kajian Dasar (IKD).

Menurut seorang pemerhati politik, perlantikan mereka boleh dianggap sebagai satu 'perkembangan mutakhir' dalam Keadilan memandangkan kumpulan pro-Abim memang menentang gabungan Keadilan-P(PRM).

Khalid, ketika ditanya mengenai perlantikan Mustapha itu berkata, ianya bukan sesuatu yang memeranjatkan kerana Mustapha memang layak memegang jawatan itu berdasarkan pengalaman luasnya dalam politik.

"Masalah di antara mereka yang dikatakan pro-Abim dan pemimpin arus perdana dalam Keadilan telah diperbesar-besarkan.

"Tetapi tiada masalah itu di dalam parti...dan kita mengaktifkan semula individu-individu dalam parti," katanya.

Mengenai proses penggabungan kedua-dua parti itu, Khalid berkata: "Buat masa ini, kita telahpun mengadakan mesyuarat bulanan jawatankuasa bersama manakala negeri-negeri juga telah diarahkan supaya menubuhkan jawatankuasa peralihan masing-masing.

"Sudah banyak aktiviti bersama sudah dijalankan...cuma masalah formaliti dan kita tidak kisah sangat kerana kita anggap ianya sebagai satu keputusan politik," tambahnya.