Apakah wujud persaingan tidak sihat di antara penyokong timbalan presiden Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan naib presiden Najib Razak?

Dan apakah wujudkan kumpulan tertentu di dalam Umno yang cuba melaga-lagakan penyokong kedua-dua belah pihak kerana mempunyai matlamat politik masing-masing?

"Saya diberitahu mengenai wujudnya kumpulan bersifat 'talam dua muka' ini yang memberi sokongan kepada kedua belah pihak," kata sumber-sumber yang rapat dengan Umno.

Menurutnya, persaingan itu dapat dirasakan berikutan beberapa perkembangan semasa yang berlaku di negara ini.

Yang terbaru, katanya, ialah tindakan Najib memanggil sidang akhbar pada 24 April lalu untuk mendedahkan mengenai rencana di dalam majalah The Economist yang disifatkannya telah memperkecilkan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

"Tindakan beliau itu dianggap mempunyai makna lain kerana pengawasan majalah, termasuk dari luar negara, adalah di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) di mana Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah menterinya," tambah sumber itu lagi.

Cuba mendahului

Dalam keluaran 5 April lalu, majalah tersebut menyiarkan rencana 16 muka bertajuk "Pertukaran Kepimpinan: Tinjauan mengenai Malaysia" yang didakwa telah memperkecilkan dasar dan program yang dilaksanakan oleh kerajaan di bawah pimpinan Dr Mahathir.

Rencana itu antara lain menyebut: "Sumbangan terbesar Mahathir kepada Malaysia ialah bersara, noktah".

Menurut sumber itu lagi, tindakan Menteri Pertahanan itu dianggap sebagai cuba "mendahului" Abdullah kerana tiada sebarang langkah majalah berkenaan walaupun menyiarkan rencana yang memperkecil Dr Mahathir.

Pada hari yang sama. Abdullah juga mengeluarkan kenyataan akhbar yang antara lain,menyebut tiada siapa, termasuk media barat, yang boleh mengenepikan pencapaian Malaysia di bawah kepimpinan Dr Mahathir.

Dan ketika bercakap kepada pemberita di Pulau Pinang Sabtu lalu, Abdullah berkata majalah berkenaan bertanggungjawab ke atas laporannya yang tepat dan tidak adil mengenai kepimpinan Dr Mahathir.

Oleh itu, katanya, beliau tindakan terbaik yang patut dilakukan oleh majalah ialah meminta maaf.

Tiada tindakan

"Persoalannya ialah mengapa Najib tidak memberitahu perkara itu kepada Abdullah, dan biarlah Abdullah yang membuat sebarang kenyataan mengenainya.

"Kecualilah kalau Abdullah yang mahu Najib berbuat demikian...itu saya tidak tahulah...Ataupuan Abdullah kenyataan itu selepas perkara tersebut dibangkitkan oleh Najib," tegas sumber itu lagi.

Bagaimanapun, katanya, perkembangan seumpama itu adalah tidak sihat ketika Umno sedang melalui zaman peralihan kuasa dari Dr Mahathir kepada Abdullah.

"Saya percaya semua ini kemungkinan bermula dari tindakan Abdullah yang melengah-lengahkan pengumuman mengenai perlantikan Najib sebagai timbalannya," tegasnya.

Menurut satu lagi sumber parti, kemungkinan Najib bertindak demikian atas desakan pihak tertentu selepas mendapati majalah tersebut dibiar diedarkan di negara ini walaupun mengandungi rencana tersebut.

"Selepas 20 hari dalam edaran, KDN tidak mengambil sebarang tindakan terhadap majalah itu...mungkin itulah sebabkan Najib bertindak demikian," tambahnya.