Persaraan Dr Mahathir Mohamad Oktober ini akan membuka jalan kepada pemimpin muda Umno untuk memanjat tangga kepimpinan parti.

Berikutan jangkaan bahawa Datuk Seri Najib Razak akan dilantik sebagai timbalan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, beberapa pemimpin Umno difahamkan sudah menyatakan minat mereka untuk bertanding bagi jawatan naib presiden.

"Antara yang disebut-sebut ialah ketua pergerakan pemuda Umno, Datuk Hishamuddin Hussein yang dijangka akan bertanding bagi jawatan naib presiden parti," kata sumber-sumber yang rapat dengan Umno.

Menurut sejarahnya, kata sumber, ketua-ketua pemuda sebelum ini tidak mempunyai masalah untuk memenangi jawatan itu sepertimana yang dibuktikan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Razak.

"Ini kerana pergerakan itu juga menghantar perwakilan ke perhimpunan agung Umno dan mereka juga akan mengundi dalam pemilihan pucuk pimpinan parti.

"Hishamuddin sudah pastinya akan menggunakan 'kuasa tawar-menawar' dengan pemimpin lain, khususnya di peringkat negeri, yang turut berminat untuk bertanding bagi jawatan tertinggi parti," tambahnya.

Pengganti Hishamuddin

Sehubungan itu, nama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohd Khir Toyo disebut-sebut sebagai calon pengganti Hishamuddin bagi menerajui pergerakan Pemuda Umno Malaysia. Mohd Khir kini memegang jawatan pengerusi biro agama pergerakan itu.

"Sebelum timbul desas-desus yang mengatakan bahawa Mohd Khir akan bertanding bagi jawatan ketua Pemuda Umno Malaysia.

"Pada awalnya, banyak pihak menyangka yang Mohd Khir akan menentang Hishamuddin tetapi difahamkan kemudiannya yang Hishamuddin mahu mengosongkan jawatannya dan bertanding untuk jawatan naib presiden," tambah sumber-sumber itu lagi.

Menurutnya, nama-nama lain yang disebut-sebut berminat untuk bertanding jawatan naib presiden ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli, Menteri Besar Johor, Tan Sri Abdul Ghani Othman.

"Difahamkan, turut berminat untuk bertanding bagi jawatan berkenaan ialah Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rais Yatim," tambahnya.

Manakala dua naib presiden sekarang, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib, dijangka akan mempertahankan jawatan masing-masing.