Peguam Raja Aziz Addruse dan Abdul Rashid Ismail telah menarik diri daripada mewakili bekas Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra dalam petisyen ketiga yang difailkan baginda bagi mencabar keperlembagaan pemasyhuran anakanda sulungnya sebagai Sultan.

NONE Penarikan diri mereka adalah ekoran keengganan Mahkamah Persekutuan menetapkan tarikh pendengaran petisyen itu pada pertengahan Mac ini seperti yang dipohon.

Alasan itu dinyatakan dalam afidavit Abdul Rashid yang difailkan bagi menyokong notis usul penarikan diri mereka daripada mewakili Tuanku Ismail Petra.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Seri Md Raus Sharif, membenarkan permohonan mereka selepas peguam Sunil Abraham yang mewakili Sultan Muhammad V (Tengku Muhammad Faris Petra) tidak membantah.

Dalam affidavitnya, Abdul Rashid berkata Tuanku Ismail Petra telah melantik Raja Aziz dan firma guamannya, Tetuan Rashid Zulkifli mewakili baginda dalam petisyen itu.

Beliau berkata firmanya telah memohon supaya tarikh pendengaran petisyen itu ditetapkan pertengahan Mac kerana Tuanku Ismail Petra mahu Raja Aziz berhujah, dan peguam itu hanya akan selesai menjalani rawatan di sebuah hospital di Singapura pada awal bulan tersebut.

Bagaimanapun, Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan menolak permohonan itu dan menetapkan 10 Feb untuk mendengar permohonan Sultan Muhammad V bagi membatalkan petisyen tersebut.

NONE Melalui petisyen ketiga yang difailkan 20 Sept lepas, Tuanku Ismail Petra memohon Mahkamah Persekutuan memutuskan beberapa isu perundangan berhubung pindaan Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan dan pemasyhuran pemangku raja sebagai Sultan.

Pada 13 Sept lepas, Majlis Perajaan Negeri telah melantik Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan menggantikan ayahanda baginda yang tidak berkeupayaan sejak Mei 2009.

Pada 26 Nov lepas, dua petisyen berhubung kuasa pemangku raja ketika ketidakupayaan Sultan yang difailkan Tuanku Ismail Petra, ditolak oleh Mahkamah Persekutuan, yang memutuskan bahawa bekas Sultan itu tidak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk merujuk isu yang perlu diputuskan oleh mahkamah tersebut.

- Bernama