Selain Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang disebut-sebut akan dipilih menerajui Pemuda Umno Malaysia, Zulkifli Alwi, penolong setiausaha pergerakan itu pula dijangka dicalonkan sebagai naib ketua.

Ini berikutan kemungkinan besar Datuk Hishamuddin Hussein akan turut bersaing untuk jawatan naib presiden manakala naibnya, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir pula bertanding kerusi Majlis Tertinggi.

Pemilihan Mohd Khir itu dianggap sesuai dengan kedudukannya sebagai seorang menteri besar dan pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, di samping merupakan exco terkanan dalam pergerakan itu.

Jika terpilih sebagai ketua pemuda, Mohd Khir secara automatik menjadi naib presiden yang dilantik bersama-sama dengan ketua Wanita dan Puteri Umno. Tiga lagi naib presiden dipilih melalui pemilihan pucuk pimpinan parti.

Beliau juga dilihat sebagai antara pemimpin Umno yang paling lantang mengkritik parti pembangkang, khususnya PAS.

Buat masa ini, Zulkifli, seorang bekas wartawan, merupakan orang penting dalam Pemuda Umno kerana sebagai penolong setiausaha, beliau bertanggungjawab terhadap perjalanan harian pejabat pergerakan itu di PWTC.

Aman Malaysia

"Beliau dilihat sesuai untuk mengisi jawatan itu kerana boleh dikatakan pentadbiran harian pergerakan itu telah dikendalikan dengan baik sekali beliau," kata sumber-sumber Umno.

"Beliau dilihat serasi dengan ketua Pemuda Umno, Datuk Hishamuddin Hussein dan juga Mohd Khir yang juga merupakan ketua biro agama pergerakan itu," tambahnya.

Malah, kata sumber itu, sewaktu berlangsung Perhimpunan Aman Malaysia (PAM) baru-baru ini, Zulkifli dilantik sebagai pengerusi PAM manakala Mohd Khir menjadi pengerusi jawatan pengelolanya. Hishamuddin pula adalah penaung perhimpunan itu.

"Kejayaan perhimpunan mengumpulkan lebih 200,000 orang di Stadium Bukit Jalil dianggap disebabkan oleh keserasian ketiga-tiga mereka mengendalikan perhimpunan tersebut, dari mula Aman Malaysia ditubuhkan sehinggalah selesai perhimpunan itu," tegasnya.

Malah, katanya, kalau dilihat daripada hirarki pergerakan itu, kedudukan Zulkifli adalah selepas Hishamuddin dan Abdul Aziz.

Sokongan tambahan

Hishamuddin dan Abdul Aziz dikatakan berminat untuk bertanding jawatan tertinggi dalam parti itu berikutan peluang mereka untuk menang adalah cerah.

Selain, pergerakan pemuda sendiri menghantar perwakilannya ke persidangan agung Umno, kedudukan Mohd Khir sebagai pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, akan turut memberi kelebihan kepada Hishamuddin dan Abdul Aziz.

"Dengan sokongan padu daripada perwakilan Pemuda sendiri, dan sokongan perwakilan daripada Selangor, sudah tentu peluang kedua-dua untuk dipilih amat cerah.

Malah, dengan kekuatan yang sedia itu, ia juga merupakan suatu kuasa tawar-menawar yang cukup baik untuk bekerjasama dengan calon-calon lain bagi mendapat sokongan tambahan dari mereka.

Seorang lagi pemimpin pergerakan itu yang disebut-sebut akan turut bertanding jawatan majlis tertinggi ialah ketua penerangannya, Azimi Daim, salah seorang pemidato terbaik dalam pegerakan itu.

Ditanya sama ada pemilihan Zulkifli akan disokong oleh ahli-ahli exco lain pergerakan, sumber-sumber itu berkata, ketrampilan Zulkifli memang diterima oleh semua pihak dalam pergerakan itu.