BN akan hadir sidang tergempar DUN S'gor
Pembangkang Selangor akan hadir ke sidang tergempar dewan undangan negeri pada Isnin namun tidak akan menyokong usul pindaan perlembagaan negeri yang akan dibentangkan oleh kerajaan negeri.
Timbalan pengerusi badan perhubungan Umno negeri Datuk Seri Noh Omar berkata, BN tidak akan menyokong pindaan berkenaan yang disifatkannya sebagai tidak perlu serta membazirkan masa dan wang rakyat.
Beliau juga tidak bersetuju dengan kenyataan menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim sebelum ini yang berkata, pindaan itu akan mengembalikan kuasa untuk melantik pegawai tinggi negeri kepada sultan.
Sebaliknya, Noh berkata pindaan itu akan mengurangkan lagi kuasa sultan dan meluaskan kuasa menteri besar.
Pindaan itu seolah-olah akan membolehkan menteri besar berkongsi kuasa dengan Sultan, kata Noh dalam satu sidang media di ibu pejabat Umno negeri di Shah Alam hari ini.
Niat untuk mengembalikan kuasa kepada Sultan itu juga hanyalah untuk mengabui mata rakyat, kata Noh lagi.

