K'jaan S'gor didakwa ambil alih kuasa lantik SUK
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak sepatutnya menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk memilih calon Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baru kerana hanya dianggotai oleh "orang politik", kata ADUN BN, Datuk Mohd Shamsuddin Lias.
Ketika membahaskan cadangan pindangan undang-undang tubuh negeri di sidang DUN Selangor hari ini, Mohd Shamsuddin (BN-Sungai Burong) berkata mengikut kenyataan bekas SUK Datuk Ramli Mahmud, nama lapan pegawai kanan kerajaan negeri dicadangkan kepada sultan Selangor, menteri besar dan ketua setiausaha negara (KSN), untuk dipilih sebagai SUK baru, tiga bulan sebelum beliau bersara awal pada 21 Disember 2010.
"Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk berunding dengan KSN calon yang layak dan sesuai untuk perkenan sultan," katanya ketika membahaskan cadangan pindaan tersebut untuk mengembalikan kepada sultan dan menteri besar Selangor, kuasa untuk melantik SUK, pegawai kewangan negeri dan penasihat undang-undang.
Mohd Shamsuddin berkata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sepatutnya berunding dengan KSN, Tan Sri Mohd Sidek Hassan bagi menyenaraipendek tiga calon yang layak, tetapi ia tidak dilakukan.
Sebaliknya, menteri besar menubuhkan satu jawatankuasa pemilihan yang dianggotai orang politik iaitu Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Teng Chang Khim dan dua anggota exco kerajaan negeri Selangor Dr Xavier Jayakumar dan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.
Beliau berkata sepatutnya calon-calon itu hanya layak ditemuduga oleh seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik memegang gred Jusa C yang terletak di bawah kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Jabatan Perkhidmatan Awam.
"Kerajaan negeri telah membelakangkan sistem yang ada," katanya.
Mohd Shamsuddin berkata tindakan menubuhkan jawatankuasa pemilihan SUK itu telah menyebabkan dua daripada lapan calon tidak mahu hadir kerana jawatankuasa itu dianggap tidak sah dari segi peraturan dan undang-undang.
Katanya tindakan jawatankuasa itu yang menghantar tiga nama kepada sultan Selangor untuk mendapat perkenan tidak boleh diterima pakai.
"Di sinilah kesilapan kerajaan negeri yang telah mengambil alih kuasa eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia," katanya.
- Bernama

