Waran tangkap dikeluarkan hari ini ke atas seorang anggota polis yang tidak hadir di mahkamah majistret di Petaling Jaya kerana membuat laporan palsu ke atas ahli perniagaan, Chia Buang Hing.
Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid mengeluarkan arahan itu terhadap Lans Koperal Norzali Rosle, 25, dari Balai Polis Kota Damansara selepas dia tidak hadir ke mahkamah bagi menghadapi satu pertuduhan baru.
Norzali sepatutnya didakwa semalam terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 211 Kanun Keseksaan iaitu membuat tuduhan palsu sehingga mendatangkan bencana yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Chia ( bawah, kiri ), 38, sebelum ini memfailkan laporan polis mendakwa dia dibelasah ketika berada dalam tahanan polis.
Katanya, pada jam sekitar 10 pagi tadi, beliau dimaklumkan oleh pengawai penyiasat yang hanya dikenali sebagai ASP Nasuha, bahawa anggota polis berkenaan sepatutnya didakwa.
"Nasuha beritahu saya, supaya saya boleh dapatkan peguam saya Lim Lip Eng untuk hadir di mahkamah,” katanya.
"Namun, apabila saya sampai, Nasuha memberitahu saya tertuduh sudah larikan diri dan polis tidak tahu di mana dia berada. Isteri anggota polis itu beritahu Nasuha, dia juga tidak tahu di mana suaminya dan dia mungkin di Kelantan.”
Lim berkata: "Malangnya, tertuduh tidak hadir dan mereka tidak tahu dia di mana. Nasuha maklumkan kepada Chia bahawa anggota polis itu adalah orang yang menggari Chia, dan juga yang pertama memukulnya.
Tidak tahu di mana
“Ini tidak sepatutnya berlaku kerana dia pegawai yang tinggal di kuarters polis - tetapi mereka tidak tahu dia dimana.”
Peguam itu, sebelum ini mengadu kepada majistret bahawa dirinya dan anak guamnya, Chia tidak memaklumkan sama ada lima anggota polis yang dikatakan memukul Chia sudah didakwa ataupun tidak.
Sehubungan itu, Lim berkata Nasuha memaklumkan Chia berhubung perkara itu hari ini.
Chia juga melahirkan kebimbangan keselamatan dirinya dan keluarganya dan kini semakin risau kerana anggota polis yang menahannya dulu itu kini tidak dapat dikesan.
“Saya kini ketakutan kerana tertuduh sudah terlepas. Bagaimana jika dia memburu saya?” soalnya.
Chia juga mengulangi dakwaannya yang dia ditahan reman, tangkap, belasah dan sebahagian besar wangnya diambil oleh anggota polis yang menahannya kerana memandu dengan cukai jalan yang tamat tempohnya.
Dipercayai di Kedah
Sementara itu, Bernama melaporkan pegawai penyiasat ASP Nasuha Ibrahim dari Ibu Pejabat Kontinjen Selangor memberitahu mahkamah bahawa polis menggunakan pelbagai cara untuk mengesan Norzali namun gagal.
"Isterinya yang ketika itu berada di rumah berkata suaminya itu berada di Kedah tetapi isterinya enggan memberikan alamat terakhir. Kami juga menemui ketua balai di mana tempat dia bertugas tetapi masih gagal," katanya.
Mahkamah menetapkan 7 Feb ini untuk sebutan kes.
Pada 11 Jan lalu, empat anggota polis termasuk Norzali dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya berhubung pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang pembuat bingkai gambar.
Norzali bersama-sama Mohd Azwan Hassan, Ahmad Saifullah Osman dan Alizulhafiz Abdul Ghafar dituduh mencederakan Chia Buang Hing, 35, di Balai Polis Kota Damansara antara 12.30 pagi dan 3 pagi 19 Dis lalu.
Norzali dan Mohd Azwan juga menghadapi satu lagi pertuduhan mencederakan Chia di Jalan PJU 3/15, Persiaran Tropicana, Kota Damansara di Kuala Lumpur antara 11.30 malam 18 Dis dan 12.30 pagi 19 Dis 2010.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan