Razaleigh aktif semula selepas persaraan Mahathir?
Persaraan Dr Mahathir Mohamad dijangka membuka peluang kepada bekas menteri kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah untuk kembali aktif semula dalam Umno dan kerajaan.
Ini sedang menjadi buah mulut di kalangan ahli-ahli Umno terutama di peringkat akar umbi yang berpendapat Razaleigh mempunyai pengaruh, khususnya di kalangan rakyat Kelantan untuk membolehkan BN merampas semula negeri itu dari PAS.
"Tidak ramai pemimpin tertinggi Umno yang layak memegang jawatan menteri kewangan dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu sekarang. Kehadiran Razaleigh dalam Kabinet sudah akan menfaatkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi," kata seorang pemimpin Umno.

Penyertaan Razaleigh dianggap agak "dingin" sejak beliau melepaskan jawatan pengerusi Umno Kelantan dan digantikan oleh Datuk Mustapha Mohamad.
"Kemungkinan beliau bersikap sedemikian untuk mengelak berlaku sebarang perselisihan pendapat dengan kepimpinan tertinggi Umno," kata pemimpin berkenaan yang tidak mahu namanya disebut.
Menurut beliau lagi, ia juga mungkin disebabkan oleh pengalaman Razaleigh yang terpaksa berdepan dengan bantahan sebilangan pemimpin dan ahli Umno apabila parti itu mahu menerima secara beramai-ramai hampir 400,000 bekas ahli parti Semangat 46 kembali ke dalam Umno.
Masih berpengaruh
"Bagaimanapun, apabila Abdullah mengambil alih kuasa dari Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad Okt ini, kedudukan Razaleigh dan beberapa pemimpin bekas Semangat 46 dalam Umno sekarang, termasuk Datuk Rais Yatim, akan lebih kukuh," katanya lagi.
Sementara itu, menurut satu lagi sumber yang rapat dengan Umno, Abdullah boleh melantik Razaleigh sebagai penasihat ekonomi negara bagi membantu beliau (Abdullah) menangani sebarang masalah ekonomi yang mungkin dihadapinya nanti.
"Di segi pengaruhnya, Razaleigh masih mempunyai pengaruh yang kuat di kalangan ahli Umno. Selain mendapat sokongan ahli Semangat 46 yang kembali semula ke dalam Umno, sejumlah ahli Umno sendiri masih menyokong beliau, tetapi terpaksa menyembunyikan kerana faktor Dr Mahathir," katanya.
Dengan itu, katanya, selepas persaraan Mahathir, mereka boleh menyatakan sokongan kepada Razaleigh secara terbuka.
Razaleigh tewas tipis kepada Dr Mahathir dalam perebutan jawatan presiden parti pada tahun 1987. Pada tahun berikutnya, Umno diisytiharkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai pertubuhan haram.
Strategi baru
Razaleigh adalah juga Ahli Parlimen Gua Musang dan merupakan satu-satunya calon Barisan Nasional yang berjaya memenangi kerusi Parlimen di Kelantan.
Kata sumber yang rapat dengan Umno, Abdullah tidak pernah mempunyai sebarang masalah politik dengan Razaleigh. Cuma Abdullah mengambil keputusan untuk menyertai Umno baru pimpinan Mahathir, sedangkan Razaleigh menubuhkan Semangat 46.
"Kerana itu jugalah, Razaleigh serta-merta menafikan desas-desus yang beliau akan bertanding menentang Abdullah bagi jawatan timbalan presiden Umno dalam pemilihan parti yang lalu," tambahnya.
Lagi pula, katanya, para pemimpin Umno juga sedar bahawa barisan kepimpinan Umno Kelantan yang diketuai oleh Mustapha memang sukar untuk meyakinkan rakyat negeri itu supaya kembali menyokong Umno.
"Ini kerana status beliau dan pemimpin Umno Kelantan yang lain lain memang tidak setanding dengan kepimpinan ulama PAS pimpinan Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat.
"Kehadiran Razaleigh sudah tentu dapat membantu Abdullah merancang strategi baru untuk merampas semula Kelantan dari PAS, manakala beliau sendiri menumpukan kepada usaha merampas semula Terengganu, juga daripada PAS, dalam pilihanraya umum akan datang," tambahnya.