Selangor sedia bawa Dr Pornthip
Kerajaan Selangor bersedia membayar kos membawa Dr Pornthip Rojanasunand ke negara ini jika pakar patologi Thailand itu dipanggil membantu siasatan Suruhanjaya Diraja mengenai kematian Teoh Beng Hock.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata siasatan suruhanjaya itu hanya lengkap jika Dr Pornthip dipanggil memberi keterangan.
"Kami bersedia menanggung kos membawa Dr Pornthip ke sini kerana saya berasakan memang perlu untuk beliau kembali bagi melengkapkan siasatan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco, di Shah Alam hari ini.
Pada 16 Julai 2009, Teoh yang juga setiausaha politik ahli exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Massalam di Shah Alam, selepas memberi kenyataan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di tingkat 14 bangunan itu.
Pada 5 Januari lalu, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Teoh bukan disebabkan bunuh diri ataupun homisid.
Peguam keluarga Teoh, Gobind Singh dilapor mempertikaikan ketiadaan nama Dr Pornthip dalam senarai saksi yang dikemuka kepada Suruhanjaya Diraja itu.
Gobind berkata, Dr Pornthip adalah saksi penting kerana beliau yang menemui kesan cedera di leher Teoh yang didakwa bukan akibat jatuh dari bangunan.
- Bernama

