Tiga beradik hadapi masa depan gelap
Akibat kegagalan seorang bapa mendaftar kelahiran anak-anaknya, tiga kanak-kanak dari Kampung Bahagia, Felda Teloi Kanan, Kuala Ketil dekat sini, tidak mempunyai sijil kelahiran.
Berikutan masalah itu, Ammar Mohd Nazri, 9, Adib, 6, dan Zulfa Dhanea, 5, berhadapan dengan pelbagai kepayahan termasuk untuk bersekolah.
Ibu mereka Roslina Harun, 33, berkata berikutan kegagalan bekas suaminya Mohd Nazri Mad, 34, mendaftar kelahiran anak-anak mereka, anak pertamanya Ammar gagal untuk bersekolah.
Roslina bimbang jika masalah ini tidak diatasi Ammar akan terus tidak dapat ke sekolah dan dua lagi anaknya akan menerima nasib yang sama nanti.
"Masa depan mereka gelap jika perkara ini berlarutan kerana tidak mendapat pendidikan sempurna seperti kanak-kanak lain. Saya tak tahu nak buat macam mana nak dapatkan sijil kelahiran untuk tiga anak saya," katanya kepada pemberita ketika dikunjungi Yayasan Prihatin Kemiskinan dan Pelajaran Kedah (YPKPK) di rumahnya.
"Sebelum ini saya telah menghantar Ammar ke sekolah rendah berdekatan tetapi memandangkan dia tidak mempunyai sijil kelahiran menyebabkan sesi persekolahannya itu terbantut.
"Saya agak sedih apabila Ammar bertanyakan bila dia akan ke sekolah lagi... Saya tak mampu nak buat apa-apa melainkan pasrah dengan keadaan yang menimpa saya dan anak-anak," kata Roslina.
Menyedari masalah besar yang dihadapi Roslina, yayasan itu cuba membantu untuk menyelesaikan masalah itu.
Pengerusi YPKPK Zuraidi Rahim berkata beliau akan menguruskan secepat mungkin perkara itu bagi membolehkan tiga kanak-kanak itu mendapat sijil kelahiran mereka dan meneruskan pembelajaran seperti kanak-kanak lain.
"Setelah mereka dapat sijil kelahiran itu pihak yayasan akan mendaftar Ammar ke sekolah rendah berhampiran agar dia dapat memulakan sesi pembelajaran di kelas pemulihan," kata Zuraidi.
- Bernama

