PKR hari ini menuntut sebuah portal berita supaya memperbetulkan satu laporan berhubung sejumlah anggota parti itu yang didakwa akan digugurkan.

Tuntutan itu dibuat oleh pengerusi jawatankuasa audit parti itu Nik Mahmood Nik Hassan melalui satu kenyataan hari ini.

NONE Nik Mahmood berkata beliau tidak dihubungi oleh laman Free Malaysia Today walau dinamakan dalam laporan berkenaan.

Dakwaan itu diterbitkan dalam laporan portal itu  pada hari Ahad lalu

Laporan portal itu antara lainnya mendakwa tujuh ahli parlimen PKR gagal dalam audit yang dijalankan parti itu, antaranya disebabkan prestasi yang lemah.

Nik Mahmood menjelaskan bahawa audit berkenaan dijalankan bagi menilai pendapat umum berhubung prestasi parti di kawasan tertentu.

"Kami meneliti fungsi pusat khidmat, perjalanan program dan interaksi antara wakil rakyat, organisasi parti, badan bukan kerajaan dan masyarakat umum.

"Tiasa seorang pun daripada ahli parlimen yang dinamakan dalam laporan FMT diaudit oleh jawatankuasa saya.

"Jelas sekali laporan FMT ( Free Malaysia Today ) adalah mengelirukan dan tidak berasas," kata Nik Mahmood lagi.

NONE Kenyataan beliau itu dibacakan dalam satu sidang media di ibu pejabat parti hari ini oleh pengarah penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata laporan itu perlu diperbetulkan "kerana ia akan menambah aliran pemfitnahan ke atas parti sejak kebelakangan ini."

Dalam sidang media sama, pengarah komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata audit berkenaan hanya dijalankan ke atas kawasan-kawasan bermasalah dan bukannya di semua kawasan yang diwakili parti itu.

"Laporan itu dibuat di kawasan tertentu. Tujuh orang ahli parlimen kalau ikut laporan FMT yang kata akan digugurkan kerana prestasi mereka tidak cemerlang, ketujuh-tujuh MP ini langsung tidak terlibat dalam laporan audit tersebut.

"Ianya tidak melibatkan kawasan mereka," katanya lagi dan menambah, laporan itu tidak diperolehinya namun beliau difahamkan demikian oleh Nik Mahmood.

"Mereka fokus kepada kawasan yang misalnya wakil rakyat lompat, yang meninggalkan parti dan sebagainya. Itu yang menjadi fokus mereka," katanya lagi.