Selepas larangan ceramah politik dikuatkuasakan kira-kira dua tahun lalu, kini pihak pembangkang menggunakan kaedah yang lebih berkesan untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat dengan menulis buku yang mengandungi dakwaan mengenai penyelewengan kementerian dan agensi-agensi kerajaan.

Dan memudahkan lagi ialah kesemua fakta dan butiran yang mendedahkan penyelewangan itu, sedia terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara yang diedarkan kepada ahli-ahli Parlimen termasuk ahli pembangkang setiap tahun.

Peluang itu tidak disia-siakan oleh ahli Parlimen Kubang Krian Husam Musa, seorang graduan ekonomi, untuk membukukan fakta-fakta berkenaan khususnya mengenai agensi dan kerajaan negeri yang menjadi sasaran PAS dalam pilihanraya umum akan datang.

Buku bertajuk 'BN khianati amanah rakyat' setebal 117 halaman itu mengandungi 10 bab mengenai kes pecah amanah di Tabung Haji, Perwaja, Mara, Perbadanan Kemajuan Negeri Sembilan (PKNNS), hasil balak di Johor, skandal pembalakan di Kedah, projek kilat di Pasir Salak, Perak, kisah penjualan tanah pertanian di Selangor, kes pembayaran kontrak sebelum kerajaan PAS dan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada).

Bab mengenai Mara, hasil balak di Johor, skandal pembalakan di Kedah, projek kilat di Pasir Salak, Perak, kisah penjualan tanah pertanian di Selangor, kes pembayaran kontrak sebelum kerajaan PAS dan Lada adalah berdasarkan kepada Laporan Ketua Audit Negara tahun 1997, 1998,1999 dan 2000.

Manakala bab mengenai kes pecah amanah di Tabung Haji dibuat berdasarkan kepada afidavit mahkamah, Perwaja (berdasarkan buku Akaun Awam Persekutuan dan Belanjawan Tahunan Kerajaan Persekutuan), dan prestasi PKNS (berdasarkan dokumen permohonan pengecualian cukai).

Mara

Bab mengenai Mara memaparkan maklumat yang dipetik dari buku Laporan Tahunan Mara yang dibentangkan di Dewan Rakyat, yang menjurus kepada penutupan anak-anak syarikatnya seperti Molek Ekspress dan SKMK yang ditutup atas sebab-sebab yang tidak diketahui.

Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Mustapha Mohamad adalah Menteri Pembangunan Usahawan sejak 1994 hingga 1999. Mara hampir enam tahun berada di bawah pengawasan kementerian beliau.

Mengenai prestasi PKN Negeri Sembilan, berdasarkan kepada dokumen permohonan pengecualian cukai, perbadanan itu mengalami kerugian sepanjang kewujudannya dan kedudukannya semakin genting pada tahun kewangan 1990 dan 1991 sehingga terpaksa menghapuskirakan akaun pelaburan, pinjaman dan pendahuluan di dalam anak-anak syarikatnya.

Bab mengenai hasil balak yang rendah di Johor pula memuatkan Laporan Ketua Audit Negara terhadap pengurusan hutan yang agak melucukan oleh kerajaan Johor, selain laporan mengenai kerugian RM302 juta Syarikat Air Johor pada 1998 kerana kenaikan kadar tukaran wang asing, manakala Kumpulan Prasarana Rakyat Johor pula dilaporkan mengalami kerugian setiap tahun.

Ia memetik perkiraan audit dalam laporan tersebut yang menunjukkan purata hasil hutan bagi satu hektar bagi 1995 ialah RM700. Angka itu jatuh kepada RM650 (1996), RM580 (1997) walaupun menurut laporan Lembaga Perkayuan Malaysia purata harga balik bagi 1996 ialah RM445 semeter dan naik kepada RM480 semeter padu pada 1996 dan RM525 semeter padu (1997).

Kerugian

Mengenai Negeri Kedah pula, bab keenam buku ini menyebut laporan Ketua Audit Negara 1997 yang mengenai hasil balak sebanyak RM52.29 juta pada 1997, yang diberi secara tender dan RM3.01 juta secara pemberian.

Berdasarkan butiran di atas kerajaan negeri memperolehi hasil purata RM11,100 sehektar menerusi proses tender sedangkan melalui proses pemberian, hasilnya hanya RM450 sehektar.

Bab ketujuh pula mengenai komen Ketua Audit Negara mengenai projek untuk menjadikan Pasir Salak sebagai destinasi pelancongan, yang merupakan antara projek emas Menteri Besar ketika itu, Tan Sri Ramli Ngah Talib.

Kesimpulannya, Jabatan Audit berpendapat kemudahan pelaksanaan projek secara rundingan terus disalahgunakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan tujuan mengelakkan tender dan perkara ini harus dipandang serius oleh pegawai kewangan Perak.

Turut dimuatkan dalam buku itu ialah laporan audit mengenai penjualan tanah pertanian di Air Hitam dan Air Terentang, Selangor kepada Shah Alam Properties Holding pada 1994 yang merugikan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor.

Manakala bab ke-9 mengenai Terengganu pula, ia memuatkan laporan Ketua Audit Negara 1999 yang mendapati antara lain kerajaan negeri telah menekan JKR supaya meluluskan projek kepada syarikat tertentu tanpa tender.

Bayar dulu

Menurut buku ini, lebih menarik lagi, bahkan amat melucukan ialah pembayaran kemajuan kerja sehingga 99 peratus dibuat empat hari selepas kerja kontrak dimulakan!

Bab akhir buku ini ialah mengandungi petikan laporan audit 2000 mengenai Lada, yang ketika itu dipengerusikan bersama oleh Tun Daim Zainuddin dan menteri besar Kedah. yang ditubuhkan khas untuk memajukan Langkawi.

Antara ulasan dalam laporan tersebut ialah akaun sebuah anak syarikat Ldad yang diaudit telah disatukan dengan akaun Lembaga Pembangunan Langkawi, menggunakan akaun pengurusan yang belum ditandatangani.

Ini bertentangan dengan standard perakaunan antarabangsa 27, selain hasil operasi syarikat-syarikat bersekutu tidak perakaunkan secara ekuiti dalam akaun yang disatukan.

Di samping itu, pelaburan dalam sebuah lagi anak syarikat Lada berjumlah RM15.3 juta telah mengalami penurunan nilai sebanyak RM12.7 juta berbanding dengan aset ketara bersihnya yang hanya berjumlah RM2.5 juta.