Kepimpinan Umno Kedah yakin mampu untuk merampas semula sekurang-kurangnya lapan daripada 12 kerusi yang dimenangi oleh PAS dalam pilihanraya umum yang lalu.

Ini berikutan analisa Umno menunjukkan bahawa kemenangan PAS, termasuk memenangi lapan kerusi Parlimen pada 1999, bukankah kerana kekuatan parti pembangkang itu tetapi berpunca daripada perpecahan dalam Umno sendiri.

"Semuanya berpunca daripada masalah kepimpinan Umno sebelum ini yang mengakibatkan berlaku perpecahan bukan sahaja di kalangan ahli-ahli parti tetapi juga di kalangan kakitangan kerajaan," kata sumber Umno Kedah.

Katanya, permasalahan inilah yang menyebabkan mereka tidak sebulu dengan kepimpinan kerajaan negeri ketika itu dan mengalih kecenderungan kepada politik parti pembangkang ketika pilihanraya umum 1999 diadakan.

"Apabila masalah dalaman Umno dapat diselesaikan, sudah tentu peluang Barisan Nasional (BN) untuk merampas semula kerusi-kerusi yang dimenangi oleh PAS dalam pilihanraya lalu adalah amat cerah sekali," tambahnya.

Dalam pilihanraya umum itu, PAS memenangi 12 daripada 36 kerusi negeri dan lapan daripada 15 kerusi Parlimen. Dalam tahun 2000 BN kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas tewas dalam piliharaya kecil Lunas kepada Keadilan.

Isu Anwar

BN bagaimanapun berjaya merampas semula kerusi Parlimen Pendang, tetapi gagal merampas kerusi DUN Anak Bukit dalam pilihanraya kecil yang diadakan berikutan kematian presiden PAS ketika itu, Allahyarham Datuk Fadzil Noor.

"Masalah itu bertambah berat berikutan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Umno dan kerajaan pada 1998. Ini menyebabkan ramai penyokong Anwar yang tidak menyokong kepimpinan Umno negeri ketika itu," katanya.

Di samping itu, katanya, corak kepimpinan kerajaan negeri Kedah sebelum 1999 juga telah menimbulkan banyak masalah, terutamanya dengan kakitangan kerajaan dan para kadi yang merasakan sumbangan mereka seolah-olah tidak dihargai pucuk pimpinan.

Katanya, memang sudah menjadi pengetahuan umum bahawa kepimpinan kerajaan negeri ketika Datuk Seri Sanusi Junid menjadi menteri besar, tidak disenangi oleh banyak pihak, termasuk di kalangan Umno sendiri.

"Mereka dikatakan kurang senang dengan idea-idea yang cuba diketengahkan oleh Sanusi seperti projek menanam padi atas bumbung bangunan, projek penyembelihan dan pembekuan daging korban di Paya Pahlawan serta projek Kota Pertanian di Pedu.

Pihak istana

"Manakala masalah timbul berikutan pelaksanaan projek udang harimau di Kerpan dan isu perumahan yang dibiarkan tergendala di Kuala Kedah juga merupakan antara faktor utama kekalahan Barisan Nasional, di kawasan terbabit," tambahnya.

Menurut sumber itu lagi, isu yang membabitkan kakitangan awam negeri juga turut menjejaskan sokongan terhadap Umno di Kedah, di samping rasa tidak senang golongan kadi terhadap kepimpinan negeri ketika itu.

Selain itu, katanya, hubungan di antara kerajaan negeri dan pihak istana juga tidak begitu baik ketika itu.

Berikutan itu, katanya, Umno negeri selepas perlantikan Datuk Seri Syed Razak Syed Zin telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menanggani masalah ini sebaik mungkin.

"Alhamdulillah sehingga ini hubungan mesra dengan kakitangan kerajaan negeri juga telah dapat dipulihkan, begitu juga hubungan dengan pihak kadi," tambahnya.

Datuk Fadzil Noor

Selain itu, tegasnya lagi, kematian bekas presiden PAS Datuk Fadzil Noor, yang dianggap sebagai pemimpin PAS bersifat sederhana, turut menjejaskan pengaruh parti itu di Kedah.

"Memang kami akui bahawa karisma Datuk Fadzil adalah antara faktor penyumbang penting kepada kemenangan PAS di Kedah.

"Tetapi selepas kematiannya, kami tidak nampak mana-mana pemimpin PAS di Kedah yang boleh menandingi karisma Allahyarham," tambahnya.

Selain itu, katanya, pemecahan semula kawasan pilihanraya di Kedah juga sedikit sebanyak telah membantu mencerahkan lagi peluang Umno untuk merebut kembali sebahagian besar kerusi negeri dan Parlimen daripada PAS dalam pilihanraya umum akan datang.

Ditanya mengenai kemungkinan PAS akan menggunakan isu sekolah agama rakyat (SAR) untuk mendapat sokongan, beliau berkata, bagi Umno soal agama adalah di bawah bidangkuasa sultan masing-masing.

"Dan isu itu kini telah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja yang lalu dan sebuah jawatankuasa khas sudah ditubuhkan untuk memberi perakuan mengenai pendidikan agama, termasuklah kedudukan SAR," tegasnya.