Usaha pergerakan Pemuda Umno untuk membebaskan majlis perwakilan pelajar di pusat pengajian tinggi daripada terus menjadi alat kepada gerakan yang menentang kerajaan, telah menampakkan kejayaannya, kata pengerusi biro pendidikan pergerakan itu, Dr Adham Baba.

Oleh itu, beliau menyangkal dakwaan bahawa pergerakan itu gagal menggunakan pendekatan yang betul untuk mendekati para pelajar sehingga mereka menolak kehadiran Umno di kampus.

"Sehingga ini jumlah majlis perwakilan pelajar di pusat pengajian tinggi yang senada dengan kerajaan semakin bertambah.

"Sebagai bukti, dalam pilihanraya kampus pada tahun 2000 hanya satu universti yang menyokong aspirasi kita iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM).

"Namun dengan pelbagai pendekatan, mereka dapat membebaskan diri untuk tidak terus menjadi alat kepada gerakan yang menentang kerajaan," katanya dalam satu temubual yang disiarkan di lawanweb Pemuda Umno.

Hasilnya, tegas beliau lagi, pada tahun 2001 and 2002, terdapat tujuh Majlis Perwakilan Pelajar yang senada dengan perjuangan kerajaan.

Tanggungjawab

"Pada tahun ini pula, bilangannya meningkat kepada 10 universiti. Ini sekaligus menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa para pelajar semakin menentang kerajaan.

"Kita yakin perubahan ini akan terus meningkat dan sekaligus dapat menghalang gerakan luar yang sentiasa menghasut para pelajar ini menentang kerajaan sehingga terlupa tanggungjawab sebenar mereka di universiti," tambahnya.

Walaupun Dr Adham tidak menamakan universiti-universiti yang kini mempunyai majlis perwakilan pelajar yang menyokong kerajaan, pada lazimnya sokongan ini datangnya dari universiti-universiti yang baru.

Secara tradisi, daripada 13 buah universiti awam di negara ini, lima menara gading yang "lama" - Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysian (USM) and Universiti Islam Antarabangsa (IIU) - mempunyai perwakilan pelajar yang anti-pentadbiran.

Namun kini dipercayai majlis pelajar di UPM and IIU kini lebih menyebelahi kerajaan.

Antara universiti-universiti baru yang mempunyai perwakilan yang menyokong kerajaan adalah Universiti Utara Malaysia, (UUM) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Tun Abdul Razak, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Mendekati pemimpin

Ditanya mengenai pendekatan yang seringkali digunakan Pemuda dalam menyelesaikan isu-isu pendidikan, Dr Adham berkata pihaknya melihat isu-isu di peringkat universiti misalnya, berkisar, mengenai bagaimanakah mereka hendak mendekati pemimpin kerajaan.

"Mereka berasa gembira dan menghargai apabila kita membawa turun pemimpin kerajaan untuk bersama mereka dalam apa jua program sama ada di kampus ataupun luar kampus.

Menyedari hakikat ini, katanya, Biro Pendidikan Pemuda Umno menggerakkan program keluarga angkat di setiap kampus di mana beberapa ketua pemuda bahagian menjadi abang angkat, di samping menubuhkan jawatankuasa untuk melicin pelaksanaan program tersebut.

"Mereka ini akan menemui para pelajar setiap masa untuk menangani isu-isu semasa dan menyelesaikan masalah mereka.

"Selain strategi tersebut, kita juga mempunyai pandangan untuk mewujudkan koordinasi di setiap kampus dan nampaknya disenangi oleh banyak pihak terutama sekali para pelajar," tambahnya.

Bagaimanapun, katanya, dalam usaha untuk memenangi dan mendekati para pelajar, pergerakan tersebut tidak dapat lari daripada bahan fitnah dan surat layang serta kecaman yang mempertikaikan langkah yang diambil itu.

Betul dan tepat

Namun begitu, beliau mengakui bahawa usaha-usaha untuk menanggani isu pendidikan sentiasa mengundang soal-soal sensitif.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya tidak akan "tergopoh-gapah" tanpa persediaan kerana tidak mahu maklumat yang sepatutnya diterima, tidak dapat difahami, sebaliknya mengusutkan lagi keadaan.

"Benar, setiap maklumat itu perlu disebarkan secara pantas dan berkesan tetapi kita juga mesti memastikan ianya betul dan tepat," tegasnya.

Atas dasar itulah, katanya, Biro Pendidikan Pemuda mengambil inisiatif untu berhubung rapat melalui jaringan kerja serta mewujudkan keseragaman dalam menjawab dan menangani sesuatu isu.

"Kita tidak mahu, di dalam keghairahan kita menjawab dan menangani sesuatu isu pendidikan, wujud pula pertentangan maklumat yang akan menyebabkan orang ramai hilang keyakinan hanya kerana terdapatnya sesuatu kekeliruan," tegasnya.