Peluang BA cerah di 33 kerusi negeri di Selangor
Persempadanan semula kawasan pilihanraya telah mencerahkan lagi harapan Barisan Alternatif (BA) untuk membuat kejutan di 33 dari 56 kawasan Dewan Undangan Negeri di Selangor, kata timbalan pesuruhjaya PAS negeri, Dr Shafie Abu Bakar.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, memberitahu malaysiakini , ini berikutan majoriti pengundi di kawasan-kawasan berkenaan adalah orang Melayu.
Persempadanan semula kawasan pilihanraya telah mencerahkan lagi harapan Barisan Alternatif (BA) untuk membuat kejutan di 33 dari 56 kawasan Dewan Undangan Negeri di Selangor, kata timbalan pesuruhjaya PAS negeri, Dr Shafie Abu Bakar.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, memberitahu malaysiakini , ini berikutan majoriti pengundi di kawasan-kawasan berkenaan adalah orang Melayu.
Dalam pilihanraya umum 1999, PAS memenangi empat kerusi DUN di Kajang (Dr Shafie), Sungai Besar (Sallehen Mukhyi), Sungai Burung (Datuk Hassan Ali) dan Gombak Setia (Datuk Ismail Kamus).
Keadilan pula memenangi satu kerusi di Hulu Kelang (Azmin Ali) manakala DAP juga menang satu kerusi di Bandar Klang (Teng Chang Khim).
Dalam pilihanraya itu, Sallehen mendapat 4,666 undi untuk menang dengan majoriti 156 undi, Dr Hassan mendapat 5,591 undi (majoriti 91 undi), Dr Shafie mendapat 10,922 (majoriti 37 undi), Ismail mendapat 11,821 (majoriti 953 undi ), Teng mendapat 12,615 (majoriti 420) manakala Azmin memperolehi 9,185 dan menang dengan majoriti 1,146 undi.
BA tewas dengan majoriti kecil kepada Barisan Nasional di kerusi Sabak (615 undi), Sungai Panjang yang diwakili of menteri besar Dr Mohd Khir Toyo (165), Sungai Tua (449), Sijangkang (466) dan Balakong (877).
Isu hangat
Melalui persempadanan semula ini, kerusi DUN di Selangor bertambah daripada 48 kepada 56 manakala kerusi Parlimen pula bertambah daripada 17 kepada 22.
Menurut Dr Shafie lagi, peluang BA, khususnya PAS sentiasa cerah di kebanyakan kerusi DUN yang majoriti pengundinya adalah orang Melayu.
"Dengan pelbagai isu tempatan yang panas diperkatakan di Selangor sekarang, peluang untuk BA adalah cerah untuk membuat kejutan di 33 DUN terbabit," katanya.
Menurutnya, isu-isu yang sedang panas diperkatakan sekarang ialah isu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) meruntuhkan surau Jubli Perak di Bangi, isu penutupan sekolah agama rakyat (SAR) dan bantahan terhadap projek insinerator perlupusan sampah di Broga, Semenyih.
Di samping itu, katanya, turut diperkatakan sekarang ialah isu pengambilan tanah di Simpang Balak dengan kadar pampasan yang tidak wajar, selain isu tebing Sungai Langat di Teras Jernang runtuh akibat pengeluaran pasir secara haram.
Pemecahan kawasan
Malah, katanya, BA juga akan membangkitkan isu-isu tempatan lain di semua kerusi DUN di negeri ini yang sedang hangat diperkatakan oleh rakyat.
Mengenai kawasan yang diwakilinya, Dr Shafie berkata, melalui persempadanan semula itu, ia dipecahkan kepada dua DUN - Kajang dan Bangi.
"DUN Kajang kekal di dalam Parlimen Hulu Langat, manakala DUN Bangi dimasukkan ke dalam Parlimen Serdang," katanya.
Menurutnya, sebelum ini, majoriti pengundi di DUN Kajang adalah orang Melayu, tetapi dengan pemecahan sempadannya, majoriti pengundinya sekarang adalah orang bukan Melayu dan ini lebih menguntungkan Barisan Nasional.
Manakala kira-kira 60 peratus pengundi di DUN Bangi pula terdiri daripada orang Melayu dan ini menurut Dr Shafie, BA berpeluang cerah untuk memenanginya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.