Seorang bekas pemimpin PAS hari ini menyifatkan Datuk Mustafa Ali menjadi 'mangsa' kepada tindak-tanduk pemimpin-pemimpin PAS yang "begitu mudah mengeluarkan sesuatu fatwa tanpa memikirkan kesannya pada masa depan".

Datuk Nakhaie Ahmad, bekas naib presiden PAS yang keluar dari parti itu pada tahun1988 berkata, Mustafa kini tersepit dengan tindak-tanduknya sendiri yang dulunya menganjurkan supaya kepimpinan parti itu mestilah diterajui oleh para ulama.

Katanya, walaupun kini Mustafa ( kiri ) berpeluang untuk mengisi kekosongan jawatan timbalan presiden, tetapi kerana bukan dari kalangan ulama, maka beliau terlepas peluang itu.

"Beliau sebenarnya tersepit dengan tindak-tanduknya sendiri sebelum ini," kata Nakhaie yang juga anggota Biro Agama Umno pusat, ketika dihubungi malaysiakini .

Mustafa adalah naib presiden parti itu yang mendapat undi terbanyak dalam pemilihan parti yang lalu. Dua lagi naib presiden PAS ialah Hassan Shukri dan Datuk Dr Hassan Ali.

Perangkap sendiri

Muktamar PAS yang dijadualkan bersidang September depan dijangka mengesahkan perlantikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang ( kanan ) sebagai presiden parti.

Berikutan itu berlaku kekosongan bagi jawatan timbalan presiden yang dilepaskan oleh Abdul Hadi.

Sebelum ini, ramai yang menjangka Mustafa akan dipilih mengisi jawatan timbalan presiden kerana beliau merupakan pemimpin terkanan PAS selepas Abdul Hadi dan Mursyidur Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat ( kiri ).

Bagaimanapun, Mustapa telah membayangkan keberatannya menerima perlantikan itu kerana sebelum ini beliau adalah antara pemimpin PAS yang mendesak supaya jawatan presiden dan timbalan presiden hendaklah dipimpin oleh golongan ulama di dalam PAS.

"Mereka terjerat dengan lubang yang digali mereka sendiri. Sikap ekstrim kepimpinan PAS yang kini banyak memberi masalah kepada mereka sendiri," kata Nakahie yang juga pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

Lesen judi

"Dulu mereka mengkafirkan orang Umno kerana berkawan dan berpakat dengan bukan Islam...sekarang mereka pula yang berbuat demikian...nanti mereka akan kata, Mustapha seorang ulama untuk membolehkannya memegang jawatan timbalan presiden...," tambah beliau yang juga anggota Jawatankuasa Penerangan Umno pusat.

Katanya, begitu juga apabila pemimpin PAS kini menggelar Pahang Darul Makmur sebagai Pahang Darul Kasino.

"Habis di Kelantan pula ada tokong yang terbesar...jadi apakah patut kita juga menggelar negeri itu sebagai Kelantan Darul Tokong...perkara sebeginilah yang tidak disedari oleh pemimpin PAS apabila mereka memberi gelaran Pahang Darul Kasino.

Sebelum ini, pemimpin PAS mengecam tindakan kerajaan pusat yang memberi lesen perjudian mesin slot kepada sebuah pusat peranginan di Bukit Tinggi di Pahang.