Umno Kedah yakin dapat mengembalikan majority dua pertiga di Dewan Undangan Negeri dalam pilihanraya umum akan datang sekiranya jumlah peratusan pemilih yang keluar mengundi melebihi 80 peratus, kata Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain.

Katanya, formula ini dibuat, sebahagiannya berdasarkan kepada analisis keputusan pilihanraya kecil Parlimen Pendang dan kerusi negeri kawasan Anak Bukit tahun lalu.

Menurutnya, walaupun formula itu mungkin tidak seratus peratus tepat, tetapi sekurang-kurangnya ia boleh menjadi panduan penting bagi Umno Kedah dalam merancang strategi pilihanraya untuk menghadapi pembangkang, khususnya PAS.

Dalam pilihanraya kecil itu, Barisan Nasional (BN) berjaya merampas semula kerusi Parlimen Pendang dengan majoriti 283 undi.

Bagaimanapun, BN gagal merampas semula kerusi Anak Bukit untuk mengembalikan semula majority dua pertiga di dewan negeri

Pilihanraya itu diadakan berikutan kematian Presiden PAS Datuk Fadzil Noor yang merupakan Adun Anak Bukit dan Ahli Parlimen Pendang.

Kurangkan majoriti

Dalam pilihanraya umum yang lalu, PAS memenangi 12 daripada 36 kerusi negeri dan lapan daripada kerusi Parlimen.

Bagaimanapun, BN kemudiannya tewas kerusi Lunas kepada Keadilan dalam pilihanraya kecil pada tahun 2000 dan sekaligus kehilangan, majoriti dua pertiga.

Menurut Syed Razak, lebih 83 peratus pengundi keluar mengundi dalam kedua-dua-pilihanraya tersebut, berbanding dengan purata 75 peratus dalam pilihanraya umum dan pilihanraya kecil di negeri itu.

"Peratusan yang tinggi itu telah membolehkan kita menang di Pendang, dan berjaya mengurangkan majoriti PAS di Pendang," katanya.

Oleh itu, katanya, salah satu strategi BN dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang ialah untuk memastikan peratusan pengundi yang membuang undi melebihi 83 peratus bagi mencerahkan harapan BN untuk mengekal atau merampas semula kerusi negeri.

Pesawah sokong PAS

Selain itu, katanya, jumlah pengundi baru dari Umno dan parti komponen lain BN di Kedah ialah kira-kira 400,000. Mereka ini layak mengundi dalam pilihanraya umum akan datang.

"Jumlah itu adalah kira-kira 50 peratus daripada jumlah pengundi berdaftar di Kedah seramai kira-kira 799,000 orang," tambahnya.

Menurut beliau, sekiranya kesemua 400,000 keluar mengundi dan sebahagian lagi undi diperolehi daripada pengundi atas pagar, maka harapan BN untuk merampas semula sebahagian besar kerusi negeri yang dimenangi pembangkang adalah amat cerah.

Selain itu, katanya, analisis keputusan pilihanraya umum lalu juga menunjukkan majoriti daripada 12 kerusi negeri dan lapan kerusi Parlimen yang dimenangi pembangkang, khususnya PAS, adalah kawasan di mana sebahagian besar pengundinya adalah pesawah.

Oleh itu, katanya, kerajaan negeri sedang berusaha memberi penerangan mengenai projek-projek pembangunan yang dilaksanakan di kawasan mereka, yang didakwa oleh pembangkang merugikan penduduk tempatan.