PAS percaya ada usaha pihak tertentu untuk menyebar berita kononnya berlaku perundingan di antara ketua Pemuda Keadilan, Mohd Ezam Mohd Nor dengan wakil-wakil dari Umno sebagai satu usaha untuk menjejaskan kredibiliti pemimpin tertentu dalam Barisan Alternatif (BA).

Ketua Dewan Pemuda PAS pusat, Mahfuz Omar berkata ianya sebahagian daripada usaha untuk melemahkan sokongan dan dokongan orang ramai kepada kepimpinan dalam BA.

"Ini usaha untuk menghilangkan kepercayaan orang ramai kepada individu yang dilihat ada pengaruh besar untuk melakukan perubahan dalam politik negara," katanya.

Mahfuz memberitahu malaysiakini demikian ketika diminta mengulas desas-desus kononnya beberapa siri perjumpaan diadakan di antara pihak Ezam dengan wakil Umno untuk menrealisasikan penyatuan demi bangsa, agama dan negara.

"Dulupun pernah disebut kononnya Dr Mahathir (Mohamad) naik kereta dengan Anwar (Ibrahim)...semua ini cerita-cerita untuk menggambarkan orang ramai seolah-olah Anwar main kayu tiga...," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Siri rundingan

Ezam dikatakan telah meletakkan prasyarat, iaitu Anwar dibebaskan dan dibenarnya menjalani rawatan perubatan di luar negara .

Sebagai tanda persetujuan dengan Ezam, dikatakan perbicaraan ikat jamin Anwar ditetapkan didengar pada 14 Julai 2003, selang beberapa hari selepas tahanan ISA di bebaskan.

Turut melaporkan perkara itu ialah lamanweb Umno-Reform, yang menyebut syarat pembebasan Anwar dan kebenaran untuk beliau mendapat rawatan adalah syarat utama manakalan syarat-syarat lain, akan di putuskan dari masa ke semasa.

Lamanweb itu juga memetik sumber-sumber sebagai berkata, perbincangan di antara Ezam dengan wakil Umno, akan di teruskan dengan beberapa perjumpaan di luar negara.

Mengulas lanjut mengenainya, Mahfuz berkata PAS tidak yakin wujudnya usaha-usaha seperti itu sama ada yang membabitkan Ezam atau Anwar sendiri, sepertimana didakwa oleh sesetengah pihak.

Sabotaj

Selain itu, katanya, usaha itu juga mungkin merupakan sebahagian daripada strategi parti-parti dalam kerajaan untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.

"Semuanya bertujuan untuk meruntuhkan kepercayaan kepada BA. Malah pernah dilaporkan ahli-ahli PAS di satu tempat dalam di kawasan Parlimen saya (Pokok Sena) menyertai Umno, sedangkan di tempat tersebut jumlah ahli PAS tidak melebihi 20 orang...," tegasnya.

Bagi PAS, katanya, pendirian parti itu dalam menjalinkan hubungan parti komponen lain dalam BA tidak akan terjejas walaupun berita-berita disebarkan kononnya berlaku perbincangan di antara pemimpin Keadilan dengan Umno.

"Ianya tidak lebih daripada usaha untuk mensabotaj kerjasama rapat di antara parti komponen dalam BA. PAS tidak akan percaya dengan berita-berita seumpama itu," tambahnya.

Ezam tidak dapat dihubungi untuk memberi komen.