Satu usul tergempar dijangka dikemukakan di Perhimpunan Agung Umno minggu depan, kemungkinan besar mengenai kedudukan seterusnya Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dalam Umno selepas beliau melepaskan jawatan presiden parti dan perdana menteri Oktober depan.

Usul ini dijangka dibuat oleh salah seorang pengerusi Umno negeri yang akan berucap membahaskan ucapan Dr Mahathir selaku presiden parti ketika merasmikan perhimpunan agung Umno Khamis depan.

Perhimpunan kali ini akan bermula dengan taklimat khas untuk perwakilan pada hari Selasa, manakala persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno akan berlangsung pada hari Rabu, diikuti dengan Perhimpunan Agung Umno pada hari berikutnya.

Setiausaha agung Umno, Tan Sri Khalil Yaakob ketika ditanya mengenai kemungkinan tersebut, berkata menurut Peraturan 10 perhimpunan parti, notis untuk mengemukakan usul hendaklah dikemukakan 14 hari sebelum tarikhnya.

Bagaimanapun, katanya, Peraturan 19 pula memberi kuasa untuk menggantung sementara perjalanan persidangan agung untuk membenarkan usul tergempar dibuat.

Selain itu, katanya, pengerusi tetap persidangan juga boleh menggunakan budibicaranya untuk merujukkan perkara itu kepada Majlis Tertinggi Umno untuk diputuskan.

Amanat terakhir

Dr Mahathir akan menyerahkan jawatan presiden Umno dan perdana menteri kepada timbalannya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Oktober.

Berikutan itu, perhimpunan agung kali ini merupakan yang terakhir bagi beliau selaku presiden Umno. Amanat beliau di perhimpunan kali ini cukup bermakna kepada para perwakilan dan juga barisan baru pimpinan Abdullah.

Bagaimanapun, ketika bercakap dalam sidang akhbar hari ini, Khalil berkata perhimpunan kali ini akan berjalan seperti biasa dan tidak ada majlis khas untuk Dr Mahathir.

Beliau berkata, , keputusan tersebut dibuat atas permintaan Dr Mahathir sendiri.

Bagaimanapun, katanya, yang penting ialah kandungan ucapan pengerusi Umno negeri ketika membahaskan ucapan presiden bagi mencerminkan rasahati ahli-ahli yang di negeri masing-masing.