Ketua Pemuda PAS, Mahfuz Omar tidak akan mempertahankan jawatan tersebut dalam Muktamar Agung PAS yang akan berlangsung pada 4 hingga 7 September depan.

Katanya, beliau mengambil keputusan itu untuk memberi peluang kepada pemimpin baru untuk menerajui dewan pemuda parti itu.

Keputusan itu telah menguatkan lagi spekulasi bahawa beliau akan dicalon bertanding jawatan lebih tinggi dalam parti dalam muktamar Sept depan.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di markas PAS di Gombak, Mahfuz berkata beliau tidak keberatan berbuat demikian kerana Pemuda PAS tidak pernah ketandusan pemimpin untuk menerajui dewan itu.

Hadir sama ialah timbalan ketua PAS pusat, Ustaz Salahudin Ayub dan naib ketua Ustaz Idris Ahmad, yang ahli jawatankuasa PAS pusat. Sebelum ini Mahfuz mempengerusi mesyuarat exco Pemuda PAS.

Katanya, beliau percaya Salahuddin dan Idris serta kepimpinan Dewan Pemuda PAS yang lain mampu untuk meneruskan kesinambungan perjuangan parti, terutama dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Jawatan tinggi

Mahfuz yang kini berusia 48 tahun, memegang jawatan ketua Dewan Pemuda PAS pusat selama dua penggal sejak tahun 1999.

Seperti kebiasaannya, Dewan Pemuda PAS negeri-negeri akan mengemukakan calon-calon bagi jawatan ketua Dewan Pemuda pusat dipilih dalam muktamar parti nanti.

Ditanya sama ia bermakna beliau akan bertanding bagi jawatan yang lebih tinggi dalam parti, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata ianya bergantung pencalonan dari kawasan-kawasan PAS yang sedang bermesyuarat sekarang.

"Ianya bergantung kepada pencalonan dari kawasan. Bagaimanapun, saya bersedia menjadi ahli biasa, dan jika ada pencalonan untuk jawatan parti, saya sedia menimbangnya," tambah beliau.

Muktamar PAS itu dijangka akan mengesahkan perlantikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Abdul Haji Awang sebagai presiden PAS selepas memangku jawatan tersebut berikutan kematian Datuk Fadzil Noor tahun lalu.

Dengan itu, beliau melepaskan jawatan timbalan presiden di mana naib presiden yang terkanan, Datuk Mustafa Ali dijangka dicalonkan untuk mengisi jawatan tersebut.

VCD haram

Berikutan itu, kekosongan bagi jawatan naib presiden itu dijangka menjadi rebutan di antara beberapa pemimpin PAS. Antara yang disebut-sebut ialah setiauasaha agungnya sekarang, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan ahli jawatankuasa pusat, Dr Hatta Ramli.

Sementara itu, dalam sidang akhbar yang sama, Mahfuz turut mencadangkan supaya diadakan pemilihan bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan kejadian sepertima berlaku di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) tidak akan berulang.

Melalui pemilihan tersebut, penduduk dapat memilih anggota PBT dari pelbagai latar belakang pendidikan dan politik bagi memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan dalam pentadbirannya.

"Pada masa ini, anggota PBT dilantik dari kalangan yang menyokong kerajaan. Malah, di kawasan di mana Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun adalah dari pembangkang, mereka tidak langsung dijemput menganggotai sama PBT di tempat masing-masing," tambahnya.

Mengenai gerakan menghapuskan Cakra Padat (VCD) cetak rompak dan lucah, Mahfuz hairan mengapa sehingga ini tidak seorang pun daripada 1,046 orang yang ditahan, didakwa di mahkamah.

"Kalau yang ditahan itu penjual VCD ceramah politik, mereka akan didakwa segera," tegasnya lagi.