Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengambil langkah pertamanya dalam membina asas sokongan yang kuat dalam Umno dengan memberi pujian yang melambung kepada tiga sayap parti itu sewaktu merasmikan serentak persidangan agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno malam tadi.

Para pemerhati politik berpendapat ianya adalah satu pendekatan terbaik yang perlu diambil oleh Abdullah memandangkan jumlah lebih 50 peratus ahli Umno adalah dari kalangan wanita.

Jika dicampur dengan keahlian Puteri dan Pemuda, ia bermakna Abdullah akan mendapat sokongan daripada lebih 70 peratus ahli Umno keseluruhannya.

Seorang pemimpin veteran Umno berkata sokongan padu Wanita, Pemuda dan Puteri amat diperlukan oleh Abdullah kerana kerana ketiga-tiga sayap Umno itu juga merupakan asas penting kekuatan Umno sekarang dan pada masa depan.

Dalam ucapan perasmiannya itu, Abdullah memuji usaha Wanita Umno yang sentiasa mendampingi rakyat, yang sekaligus berjaya mengekalkan sokongan padu rakyat kepada Umno.

Pemuda pula mendapat pujian daripada Abdullah kerana kejayaannya mengadakan Perhimpunan Aman Malaysia yang dihadiri kira-kira 250,000 rakyat dari pelbagai kaum dan peringkat umur.

Asas sokongan

Puteri Umno turut dipuji Abdullah kerana daya usaha pergerakan termuda dalam Umno itu menganjur program pendidikan yang memberi manfaat besar kepada pelajar khususnya di luar bandar.

Abdullah akan mengambil alih kepimpinan Umno dan negara daripada Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad Oktober depan.

Selain isu perlantikan calon timbalannya, para pemerhati politik juga sering memperkatakan tentang asas sokongan untuk Abdullah di kalangan ahli Umno.

Kerana itulah, langkah Abdullah memulakan ucapan perasmian malam tadi dengan memujikan peranan yang dimainkan oleh ketiga-tiga sayap Umno itu, dianggap sebagai bermulanya 'gerakan' membina asas sokongan untuknya dalam parti.

Bagaimanapun, tegas seorang pemerhati politik, ianya tidak bermakna Abdullah tidak mempunyai sokongan langsung dalam Umno.

"Tetapi selama ini, ramai ahli Umno yang sentiasa bersimpati dengan perjuangan Abdullah yang mereka anggap sebagai seorang pemimpin yang'bersih" dalam Umno.

"Bagaimanapun, demi masa depan kepimpinannya dalam Umno, beliau mesti mempunyai dan dilihat mempunyai asas sokongan yang kuat dalam Umno," tambahnya.

Elak politik wang

Menurutnya lagi Pergerakan Wanita selama ini menjadi penyokong kuat, begitu juga Puteri Umno pimpinan Azalina Othman Said.

"Dan ketiga-tiga pergerakan tersebut akan menjadi asas penting untuk tujuan tersebut," tegasnya lagi.

Untuk memastikan kelicinan proses peralihan kuasa dalam parti, dalam ucapannya, Abdullah juga mengingatkan ahli parti supaya tidak menjadikan parti sebagai tempat untuk 'menjalankan ujikaji politik' untuk mencari pengaruh dan kedudukan dalam parti.

Lantaran itu, beliau memberi amaran keras kepada ahli Umno supaya jangan sekali-kali terbabit dalam politik wang sewaktu pemilihan parti yang akan datang.

Pemerhati politik melihatnya sebagai 'ingatan' beliau kepada mana-mana pihak yang mungkin mengambil kesempatan untuk mencari kedudukan sewaktu pemilihan parti akan datang.

Menurut mereka ia juga mungkin ditujukan kepada penyokong mana-mana pihak yang sedang berkempen supaya calon mereka terpilih sebagai timbalan Abdullah apabila Dr Mahathir bersara.