Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kuasa di peringkat Parlimen dan dewan undangan negeri dalam pilihanraya umum yang lalu kerana kira-kira 680,000 pemilih baru tidak dapat mengundi, kata seorang perwakilan Pemuda Umno hari ini.

Wakil dari Melaka , Idris Harun berkata jika tidak, kemungkinan sekurang-kurangnya lapan negeri, selain Kelantan dan Terengganu akan jatuh ke tangan pembangkang.

Menurutnya, negeri-negeri tersebut ialah Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Perlis dan Melaka.

Selain itu, katanya, jika mereka ini boleh mengundi, kemungkinan kerusi-kerusi Parlimen juga berpihak kepada pembangkang.

Menurutnya lagi, keputusan pilihanraya tahun 1995 menunjukkan 106 kerusi Parlimen dimenangi oleh BN dengan undi melebihi 60 peratus.

Bagaimanapun, katanya, dalam pilihanraya umum 1999, hanya 72 kerusi sahaja dimenangi oleh BN dengan undi melebihi 60 peratus.

Berucap membahaskan usul ekonomi di persidangan tahunan Pemuda Umno hari ini, beliau berkata, ini bermakna sekiranya 680,000 pemilih yang tidak dapat mengundi itu, memilih pembangkang, BN mungkin kalah.

Tugas Pemuda Umno

Lantaran itu, beliau mengingatkan bahawa pentingnya BN, khususnya Umno, memastikan, ianya mendaftar seramai boleh pemilih yang menyokong BN supaya jumlahnya melebihi angka tsrsebut.

Menurutnya lagi, pada 1999, BN memperolehi 55 peratus undi bagi peringkat dewan undangan negeri manakala 42 peratus lagi dimenangi pembangkang, dengan 2.7 peratus undi rosak.

"Sekiranya 2.7 peratus undi rosak itu memihak kepada pembangkang, bermakna pembangkang hanya memerlukan 5 peratus sahaja lagi untuk menyaingi BN," tambahnya.

Oleh itu, katanya, adalah penting bagi Umno, khususnya Pemuda Umno, untuk memastikan usaha menambah ahli, mestilah mengambil kira masalah di atas.

"Pemuda Umno mesti memastikan, berapa ramaikah daripada 675,000 ahlinya yang layak mengundi, dan berapa pula yang sudahpun mendaftar sebagai pemilih " tambahnya.

Sementara itu, wakil Kelantan pula menegaskan Umno negeri sentiasa menghadapi masalah sekiranya wujudnya isu besar di peringkat nasional ketika menghadapi pilihanraya umum.

Prestasi BN Kelantan

Sebagai contohnya, katanya, pada 1990 kehadiran Semangat 46 telah membantu PAS menawan Kelantan.

"Pada tahun 1996 pula, Semangat 46 dibubarkan, maka prestasi BN Kelantan semakin baik," tegasnya.

Bagaimanapun, katanya, menjelang pilihanraya 1999 berlaku satu masalah baru dalam Umno sehingga menyebabkan prestasi BN negeri itu turut terjejas.

Pada tahun terebut, berlaku perpecahan serius dalam Umno, berikutan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Umno dan kerajaan.

Menurut Bakri lagi, sekiranya tidak timbulkan lagi isu-isu seperti itu, beliau yakin BN Kelantan akan mencapai kejayaan dalam pilihanraya umu akan datang.

Sementara itu, Pemuda Johor pula mencadangkan supaya bahasa Cina dan bahasa Tamil dijadikan matapelajaran teras bagi menarik masyarakat bukan Melayu menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan.

Melayu Pulau Pinang

Wakil Pemuda Johor, Rusdeni Dahari, berkata langkah itu penting supaya sekolah kebangsaan akan menjadi sumber utama ke arah mewujudkan satu bangsa Malaysia yang bersatupadu.

Katanya, masalah perpaduan di kalangan rakyat berlaku selain kerana sekolah kebangsaan, wujud juga sekolah kebangsaaan agama dan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

Di samping itu, katanya, langkah itu juga akan memberi peluang kepada pelajar Melayu turut mempelajari bahasa Cina dan India di peringkat muda lagi.

Wakil Pemuda dari Pulau Pinang Raja Munir Shah Raja Mustafa pula menggesa kerajaan negeri itu supaya tidak mewartakan tanah wakaf dan tanah milik Melayu di negeri itu di bawah Akta Warisan.

Katanya, ini penting bagi membolehkan kawasan milik Melayu itu dapat dimajukan dengan projek-projek pembangunan yang bakal memberi faedah kepada orang Melayu di negeri itu.

Beliau kesal kerana masalah ekonomi dan taraf hidup orang Melayu di negeri itu yang berada di tahap yang mendukacita hanya mendapat perhatian selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sendiri membangkitkan baru-baru ini.