Pak Lah: Timbalan TPM diumumkan selepas saya jadi PM
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau akan mengumumkan nama timbalannya hanya selepas beliau mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.
Ketika ditanya sama ada beliau mungkin mengumumkan nama timbalannya lebih cepat daripada itu, Abdullah berkata: "Nantilah dulu, saya belum pegang jawatan PM."
Ditanya sama ada pengumuman itu akan dibuat sebelum atau selepas pilihanraya umum, Abdullah berkata, tarikh pilihanraya umum pun masih belum diputuskan lagi.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau akan mengumumkan nama timbalannya hanya selepas beliau mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.
Ketika ditanya sama ada beliau mungkin mengumumkan nama timbalannya lebih cepat daripada itu, Abdullah berkata: "Nantilah dulu, saya belum pegang jawatan PM."
Ditanya sama ada pengumuman itu akan dibuat sebelum atau selepas pilihanraya umum, Abdullah berkata, tarikh pilihanraya umum pun masih belum diputuskan lagi.
Mengenai siapa dalam fikirannya bakal menjadi timbalan beliau, timbalan presiden Umno itu berkata: "Jika saya beritahu anda sekarang samalah seperti saya mengumumkannya."
Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan dengan para pemerhati politik asing di luar Perhimpunan Agung Umno ke-54 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini, Abdulah berkata:
"Apa jua pengumuman yang akan saya buat mengenai perkara ini, tentang siapa yang akan menjadi timbalan saya, hanya akan dilakukan apabila saya mengambil alih jawatan perdana menteri, " katanya.
Pemilihan timbalan
"Dalam bulan Oktober, saya rasa...bukan, bukan... tidak dalam bulan Oktober kerana Dr Mahathir masih dalam jawatan. Jadi ia semestinya dalam bulan November," kata beliau.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah membayangkan yang naib presiden Datuk Seri Najib Razak sebagai calon yang layak dilantik sebagai timbalan Abdullah.
Berikutan itu, Abdullah pernah menyatakan yang beliau akan mengumumkan nama calon timbalannya selepas pilihanraya kecil Parlimen Pendang dan kerusi dewan undangan negeri kawasan Anak Bukit pada Julai tahun lalu.
Bagaimanapun, Abdullah tidak jadi membuat pengumumkan sebaliknya berkata, beliau akan hanya mengumumkan calon timbalannya selepas mengambil alih jawatan daripada Dr Mahathir.
Dr Mahathir ketika ditanya mengulas mengenai kenyataan Abdullah ketika itu, berkata terpulanglah kepada Abdullah untuk memilih bakal timbalannya nanti.
Sementara itu, persidangan agung Umno yang masuk ke hari kedua, membahaskan usul ekonomi yang dibawa oleh pergerakan Wanita Umno dan disokong oleh Umno Kelantan.
Siasat Petronas
Ketika membahaskan usul itu, wakil Umno Terengganu, Rosli Mat Hassan menggesa kerajaan supaya meneliti dasar perniagaan dan juga dasar pentadbiran tenaga kerja syarikat Petronas.
Katanya, langkah itu perlu kerana beliau mendakwa 70 peratus kakitangan perbadanan milik kerajaan itu tidak menyokong Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum yang lalu.
Di samping itu, katanya, ianya penting bagi memastikan usahawan Bumiputera, terutama penyokong kerajaan dapat "menumpang" hasil kejayaan Petronas.
Sebelum itu, beliau mengkritik tindakan kerajaan negeri PAS yang turut memasukkan bayaran ehsan RM500 juta sebagai sebahagian daripada pendapatan kerajaan negeri dalam belanjawannya tahun ini.
Katanya, ini merupakan satu penipuan terhadap rakyat kerana wang ehsan itu tidak disalurkan melalui kerajaan, tetapi sebalik disalurkan kepada oleh Umno negeri.
Sehubungan itu, katanya, tanpa bantuan daripada Kerajaan Pusat yang diterajui oleh BN, kerajaan negeri Terengganu akan muflis kerana tiada hasil yang mencukupi untuk mentadbir negeri.
Beliau juga mendakwa, kerajaan negeri turut membahagikan kawasan balak kepada pemimpin parti itu, manakala penyokong parti itu pula diberi tanah.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.