Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dinasihatkan berpegang kepada janjinya bahawa beliau hanya bersedia mengambil alih kepimpinan pergerakan Pemuda Umno sekiranya berlaku kekosongan pada jawatan tersebut.

Ini berikutan kemungkinan ketua pergerakan itu, Datuk Hishamuddin Tun Hussein, bertanding merebut salah satu jawatan naib presiden Umno dalam pemilihan parti yang akan datang.

"Kami berpegang kepada janji beliau itu. Sekiranya Datuk Hishamuddin tidak bertanding jawatan naib presiden, maka tiada sebab bagi Dr Khir berkempen bagi jawatan ketua pemuda," kata sumber-sumber yang rapat dengan Pemuda Umno.

Katanya, itulah yang perlu ditekankan oleh Dr Khir kepada penyokongnya yang sudahpun mula berkempen baginya sejak setahun yang lalu.

Dr Khir, yang kini berusia 38 tahun, adalah ahli exco Pemuda Umno Malaysia yang mempengerusikan biro agama pergerakan tersebut.

"Yang dibimbangkan ialah kalau-kalau Dr Khir tidak dapat mengawal para penyokongnya sekiranya Datuk Hishamuddin tidak jadi bertanding naib presiden," tambahnya.

Utamakan pilihanraya umum

Hishamuddin yang sebelum ini dikatakan bersedia untuk bertanding merebut jawatan tersebut, kini berkemungkinan besar terpaksa membatalkan hasratnya itu atas desakan para penyokongnya.

Mereka dikatakan kurang yakin yang Hishamuddin mampu memenangi jawatan tersebut kerana kini sudah ada naib presiden dari Johor (Tan Sri Muhyiddin Yasin) manakala Menteri Besar Johor, Datuk Seri Abdul Ghani Othman, juga mahu bertanding merebut jawatan yang sama.

Sekiranya Hishamuddin, juga dari Johor, turut bertanding merebut jawatan itu, peluangnya dikatakan agak tipis jika dibanding dengan Abdul Ghani.

Menurut sumber-sumber itu lagi, Dr Khir tidak perlu kelihatan terlalu "gelojoh" untuk merebut kepimpinan pergerakan Pemuda Umno Malaysia.

"Memang, sekiranya Datuk Hishamuddin melepaskan jawatan itu, calon yang paling sesuai adalah Dr Khir. Hakikat ini diterima oleh semua anggota Pemuda Umno.

Kawal penyokong

"Beliau memang seorang pemimpin muda yang berpotensi dan berkarisma...kalau dia boleh bertahan, sudah tentu jawatan ketua Pemuda Umno Malaysia akan berada di tangannya," tambah sumber-sumber itu lagi.

Katanya, para penyokong Hishamuddin memang sedang memerhatikan geraklaku penyokong Dr Khir bagi memastikan mereka "tidak pergi melebihi batasan" yang sepatutnya.

"Sebenarnya kami tidaklah bimbang sangat, kerana sekiranya berlaku pertandingan pun, tidak mungkin Dr Khir dapat menewaskan Datuk Hishamuddin," tambahnya.

Lagi pun, katanya, Dr Khir belum cukup sepenggal tempohnya dilantik sebagai Menteri Besar Selangor pada tahun 2000. Beliau juga belum diuji memimpin Umno Selangor menghadapi pilihanraya umum.

"Oleh itu, jika penyokong terlalu sibuk berkempen untuknya menjadi ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, takut-takut nanti persiapannya untuk menghadapi pilihanraya akan terjejas...," tambah sumber-sumber itu lagi.


Untuk mengetahui lebih tentang peralihan kuasa dalam Umno, baca Analysis Malaysia .