Kemunculan Datuk Dr Awang Adek Hussin dalam arena politik Umno Kelantan telah menimbulkan semangat baru di kalangan ahli parti itu di peringkat akar umbi untuk berusaha menawan lebih banyak kerusi dalam pilihanraya umum akan datang.

Beliau adalah antara muka baru yang dilantik menganggotai badan perhubungan Umno Kelantan dalam rombakan yang dilakukan Januari lalu.

Perlantikan baru itu, bukan sahaja bertujuan untuk menyuntik semangat baru dalam parti, tetapi juga untuk meredakan ketidakfahaman yang wujud di kalangan pemimpin utama Kelantan sebelum ini.

"Perjalanan Umno Kelantan kini semakin mantap dan stabil. Pengerusi Umno negeri Datuk Mustapha Mohamad juga sekarang berada dalam kedudukan yang lebih selesa untuk melaksanakan strategi baru bagi menawan lebih banyak kerusi," kata sumber yang rapat dengan Umno Kelantan.

Dalam pilihanraya umum 1999, Barisan Nasional (BN) hanya berjaya memenangi dua kerusi negeri - Paloh dan Galas - manakala 41 kerusi lagi dimenangi oleh PAS untuk terus memerintah Kelantan bagi penggal ketiga berturut-turut.

"Kehadiran Dr Awang yang merupakan seorang pakar ekonomi dan bekas penolong gabenor Bank Negara, sebagai bendahari Umno negeri, diharap menjadi pendorong utama kepada usaha meningkatkan lagi prestasi Umno negeri dalam pilihanraya nanti," katanya.

Semangat baru

Dr Awang meletakkan jawatan di Bank Negara pada 2001 untuk bergerak aktif dalam bidang korporat dan politik, selepas 16 tahun bersama bank pusat itu.

Perlantikan lain dalam badan perhubungan Umno Kelantan ialah peguam Zaid Ibrahim (timbalan pengerusi), Mat Nawawi Mat Jusoh (setiausaha perhubungan) dan Alwi Che Ahmad (ketua penerangan).

Zaid dilantik menggantikan Datuk Annuar Musa manakala Dr Awang, Mat Nawawi dan Alwi masing-masing menggantikan Dr Nik Hussin Abdul Rahman, Tuan Mohamad Hashim Tuan Yaakub dan Ismail Mamat.

Ketrampilan Dr Awang terserlah ketika berucap di perhimpunan agung Umno bulan lalu di mana beliau dengan kelancaran ucapannya menjelaskan dengan mudah masalah-masalah yang dihadapi oleh Umno di negeri ini.

Seorang lagi pemimpin Umno Kelantan menyifatkan beliau sebagai seorang pemimpin "4 dalam 1", iaitu berpengetahuan politik, kepetahan berucap, berwibawa dan dihormati ahli-ahli Umno di peringkat akar umbi di Kelantan.

Dr Awang yang juga pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), menyertai Bank Negara pada 1985 dan berkhidmat dalam pelbagai bidang sehinggalah dilantik sebagai penolong gabenor pada 1996.

Senjata baru

Kini kehadirannya sepenuh masa dalam politik Kelantan mula menggerunkan PAS di negeri ini, khususnya di kawasan Bachok di mana beliau menjadi timbalan ketua bahagian.

PAS baru-baru ini mendakwa Dr Awang telah memperalatkan kedudukannya sebagai pengerusi TNB untuk kepentingan politik, apabila kalendar syarikat itu yang memaparkan gambar beliau diedarkan di bahagian berkenaan.

"Beliau merupakan aset penting kepada Umno Kelantan, khususnya kepada Datuk Mustapha. Dr Awang mempunyai kelebihan dalam menyampaikan sesuatu dengan bahasa yang mudah difahami oleh rakyat," kata seorang lagi pemimpin Umno Kelantan.

Oleh itu, beliau berharap, pemimpin-pemimpin lain Umno Kelantan tidak melihatkan kelebihan pada Dr Awang sebagai satu "ancaman" terhadap masa depan politik mereka, tetapi sebalikya sebagai "senjata" untuk meningkatkan lagi peluang BN memenangi lebih banyak kerusi di Kelantan.