Masalah Umno Kedah tidak akan selesai selagi penyokong bekas Menteri Besar Tan Sri Sanusi Junid tidak dapat menerima kepimpinan Datuk Syed Razak Syed Zin sebagai menteri besar yang baru.

Walaupun Syed Razak dikatakan sentiasa memberi layanan yang sama kepada semua pihak dalam kerajaan dan parti, namun beliau masih belum mendapat kerjasama sepenuhnya dari mereka, sejak dilantik sebagai menteri besar selepas pilihanraya umum yang lalu.

"Mereka perlu ingat bahawa tindakan mereka boleh mengakibatkan Umno tewas di Kedah...kalau dah kalah tak siapa pun yang untung," kata sumber-sumber yang rapat dengan Syed Razak.

Menurutnya, ada di kalangan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan ahli exco negeri yang merupakan penyokong kuat Sanusi.

Dalam pilihanraya umum 1999, Barisan Nasional (BN) kehilangan 12 daripada 36 kerusi DUN serta lapan daripada lima belas kerusi Parlimen, kepada PAS .

BN Kedah kemudiannya kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri selepas tewas kerusi DUN Lunas kepada Keadilan dalam pilihanraya kecil 2000.

Orang dalam

Bagaimanapun, BN berjaya merampas semula kerusi Parlimen Pendang dalam pilihanraya kecil yang diadakan berikutan kematian penyandangnya dari PAS, Datuk Fadzil Noor ( gambar ), tahun lalu.

Malaysiakini

difahamkan, kira-kira separuh daripada 19 Adun BN, khususnya dari Umno, merupakan penyokong kuat Sanusi.

"Ini kerana Syed Razak menjadi menteri besar selepas pilihanraya umum 1999. Ini bermakna senarai calon-calon Umno dalam pilihanraya umum lalu diputuskan oleh menteri besar sebelumnya.

"Dulu, sewaktu Syed Razak dilantik sebagai menteri besar, keadaan Umno dan negeri Kedah nampak longlai. Tetapi apabila Syed Razak berjaya membawa kemajuan di Kedah, ada pihaknya yang 'bersemangat' semula untuk merebut jawatan.

"Malah, bukan rahsia lagi di mana ada di antara ahli exco negeri yang merasakan mereka juga layak menjadi menteri besar," katanya kepada malaysiakini .

Menurutnya, tindak-tanduk golongan ini menepati pepatah Melayu "gunting dalam lipatan dan membaling batu sembunyi tangan".

Beliau juga mengesyaki perbuatan memburuk-burukkan Syed Razak kemungkinan perbuatan "orang dalam".