PM: Status negara bukan jaminan kekal berjaya
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata status sesebuah negara itu bukan jaminan untuk mereka kekal berjaya jika dasar kewangan dan ekonomi tidak diurus dengan baik.
"Meskipun sesebuah negara itu sudah diiktiraf sebuah negara maju, (ia) tidak menjamin bahawa negara itu tidak boleh terjerumus sebagai sebuah ''failed state'' atau negara yang boleh dikatakan gagal daripada segi menguruskan ekonomi dan dasar kewangan dengan baik," katanya.
Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata demikian pada Perhimpunan Khas Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.
Katanya apabila sesebuah negara itu tergolong dalam kategori negara yang gagal, maka ia akan kehilangan maruah kerana terpaksa menagih bantuan kewangan daripada institusi-institusi kewangan antarabangsa.
"Ini akan mengakibatkan ketidaktentuan daripada segi dasar domestik yang akan membawa kepada beban yang berat kepada rakyat negara terbabit," katanya.
Memberi contoh negara seperti Greece, Ireland, Sepanyol dan Portugal yang menghadapi masalah akibat dasar kewangan dan ekonomi yang gagal diurus dengan baik, Perdana Menteri berkata keadaan itu menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk menanganinya.
"Akibatnya, timbul kegelisahan di kalangan rakyat negara tersebut apabila terpaksa terikat dengan syarat-syarat yang dikenakan oleh badan-badan antarabangsa," katanya.
Najib berkata bagi memastikan Malaysia tidak menghadapi masalah seumpama itu, kerajaan sudah menentukan pelan hala tuju dan landasan yang cukup jelas berpaksikan konsep 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Katanya pelbagai dasar, program dan projek antaranya, di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) telah dirangka supaya Malaysia terus berjaya, dan agar harapan menjadikan Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020, menjadi kenyataan.
"Kita telah lama memperjuangkan apa yang kita rasakan amat penting untuk menjaga dan memelihara kepentingan rakyat dan maruah negara," katanya.
- Bernama

