Pemimpi-pemimpin Umno Kedah yang dikaitkan dengan Datuk Seri Sanusi Junid terkilan dengan tindak-tindak penyokong Menteri Besar, Syed Razak Syed Zin yang menuding jari kepada mereka sebagai antara punca wujudnya masalah dalam Umno negeri.

Sumber-sumber yang rapat dengan mereka berkata, jelas para penyokong menteri besar telah menjadikan mereka 'kambing hitam' bagi menyembunyikan kebimbangan mereka apabila Seri Abdullah Ahmad Badawi menggantikan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad Oktober depan.

"Sebenarnya, mereka ini sedang panik kerana Dr Mahathir akan bersara Oktober ini dan menyerah kuasa kepada Paklah," katanya kepada malaysiakini ketika diminta mengulas mengenai perkembangan politik semasa di Kedah.

"Macam ada kebimbangan di kalangan pemimpin Umno Kedah, sama ada di peringkat negeri ataupun pusat apabila Dr Mahathir mahu bersara. Ini berikutan ada pihak yang tidak yakin yang mereka berupaya mngendalikan Kedah selepas Dr Mahathir bersara nanti.

"Ini kerana ada di kalangan mereka yang selama ini bernaung atau 'meminjam' nama Dr Mahathir untuk mendapat pengaruh di peringkat akar umbi...jadi apabila Dr Mahathir bersara, masa risaulah golongan ini, sama ada akan terus mendapat sokongan di peringkat bawahan," tambahnya.

Selain itu, kata sumber tersebut, golongan ini juga bimbang kemungkinan mereka tidak termasuk dalam senarai kepimpinan Umno negeri dan pusat apabila Pak Lah mengambil Umno dan kerajaan daripada Dr Mahathir.

Menuding jari

"Maka timbulkan pihak yang membangkitkan soal pasukan Dr Mahathir dan pasukan Pak Lah. Apabila nama mereka yang dikaitkan dengan Datuk Seri Sanusi disebut-sebut sebagai sebahagian daripada pasukan Pak Lah, maka paniklah mereka.

"Berikutan itu, ada antara mereka yang baru mendapat tempat di sisi Datuk Syed Razak bimbang kalau-kalau jangka hayat politik mereka akan pendek. Maka timbul perbuatan menuding jari ke arah pemimpin yang dikaitkan dengan Datuk Seri Sanusi sebagai punca masalah dalam Umno Kedah," tambahnya.

Menurut sumber-sumber itu lagi, semua ini tiada bersangkutan dengan Syed Razak, tetapi ia merupakan tindak-tanduk para penyokongnya yang 'takutkan bayang-bayang sendiri".

"Kebimbangan mereka juga ada kaitan dengan kesungguhan parti PAS menjadikan Kedah sasaran utama mereka dalam pilihanraya umum akan datang. Mereka begitu yakin, selepas Kelantan dan Terengganu, kali ini giliran Kedah pula jatuh ke tangan parti itu," tambahnya.

Lagi pula, katanya, Syed Razak memang diketahui tidak'menyerang' parti PAS di Kedah, malah beliau telah membenarkan seminar anjuran Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Persatuan Ulama Kedah (PUK) diadakan di Wisma Negeri Sabtu lalu.

Sumber-sumber tersebut menganggap Syed Razak telah membuat 'kesilapan besar' apabila membenarkan seminar itu diadakan dan dirasmikan oleh Sultan Kedah.

Kebebasan

"Semua perjalanan seminar itu dikuasai oleh penyokong PAS. Ini memberi gambaran PAS bahawa di Kedah, PAS bebas menganjurkan majlis-majlis seumpama itu...ia adalah sesuatu yang menguntungkan PAS Kedah dan meyakinkan lagi penyokong mereka untuk merampas Kedah kali ini," tambahnya

Oleh itu, katanya, adalah jelas bahawa masalah yang timbul di Kedah tiada kaitan dengan pemimpin-pemimpin yang dikaitkan dengan Sanusi sewaktu beliau menjadi menteri besar Kedah sebelum ini.

"Malah, kalau dilihat daripada senarai Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menang dalam pilihanraya umum lalu, ramai daripada mereka adalah pilihan Datuk Seri Sanusi.

"Dengan kemenangan 17 Adun Umno dan lima lagi dari parti komponen BN, maka kita masih berkuasa di Kedah. Kerana itu jugalah maka, Syed Razak dapat menjadi menteri besar...oleh itu, hargailah sama jasa Adun-adun ini.

"Tanpa kemenangan mereka, tidak mungkin Syed Razak dapat menjadi menteri besar di Kedah. Oleh itu, janganlah memperkecil-kecilkan peranan mereka dalam memastikan BN terus menguasai Kedah walaupun tanpa majoriti dua pertiga," tambahnya.