IGP dibenar keluar hospital
Diterbitkan: Apr 24, 2011 3:31 PM | Dikemas kini: Apr 24, 2011 5:46 PM
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar hari ini dibenarkan keluar dari wad Hospital Pantai Kuala Lumpur selepas dirawat akibat kepenatan sejak Jumaat lepas.
Difahamkan, beliau telah pulang ke kediamannya di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang pada kira-kira 12 tengah hari tadi dan akan berehat untuk beberapa hari sebelum kembali bertugas.
Sementara itu, jurucakap Pusat Media Bukit Aman mengesahkan Ismail sudah sihat dan dibenarkan keluar dari hospital itu.
Ismail, 57, dimasukkan ke hospital itu selepas mengadu tidak sihat ketika menghadiri Perhimpunan Bulanan Polis Diraja Malaysia di Bukit Aman pada Jumaat.
- Bernama

