PAS tidak ada kena mengena dengan seminar ulama di Kedah Sabtu lalu walaupun ia dianjurkan bersama oleh Persatuan Ulama Malaysia (PUM) yang sering dikaitkan dengan parti itu, kata ketua Dewan Pemuda PAS, Mahfuz Omar.

"Kita tidak campurkebetulan ada individu-individu PAS yang menjadi penggiat kepada PUM dan Persatuan Ulama Kedah (PUK)itu perkara lain," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Seminar sehari itu yang telah dihadiri oleh lebih 2,000 ulama di Kedah telah dirasmikan oleh Sultan Kedah di Wisma Darulaman yang menempatkan pejabat kerajaan negeri yang turut menjadi penganjur bersamanya.

"Seminar itu diadakan bertujuan untuk memperkasakan institusi dan peranan ulama secara umum. Saya pun dijemput, tetapi atas sebab-sebab kesihatan, saya tidak dapat hadir," tambah beliau yang juga ahli Parlimen PAS bagi kawasan Pokok Sena.

Oleh itu, beliau menolak dakwaan beberapa pemimpin tertentu Umno di Kedah kononnya penganjuran seminar itu di Wisma Darulaman, menunjukkan bahawa kerajaan negeri telah berjaya "mencairkan" pengaruh PAS di neger itu.

Sebaliknya, kata beliau sekiranya pihak penganjur seminar itu mahu dikaitkan dengan PAS, maka bermakna ianya satu kejayaan bagi parti itu kerana dapat menganjurkan seminar tersebut di Wisma Darulaman, yang merupakan pejabat kerajaan negeri pimpinan Umno.

Bagaimanapun, kata Mahfuz, beliau difahamkan, seminar itu mahu mengumpulkan para ulama tanpa mengira latarbelakang politik masing-masing, dalam usaha untuk mengembalikan perananan mereka berasaskan prinsip Islam sebenar.

Percanggahan ucapan

"Ia diadakan setelah mendapat perkenan baginda Sultan Kedah. Malah, baginda sendiri yang mencadangkan seminar itu diadakan di Wisma Darulaman, walaupun saya difahamkan, pihak penganjur pada awalnya bercadang mengadakannya di tempat lain.

"Setelah baginda Sultan mencadangkan demikian, pihak penganjur telah memaklumkannya kepada pegawai bertugas di Wisma Darulaman mengenai perkara itu," tambahnya.

Bagaimanapun, katanya, telah berlaku campur politik melalui pejabat menteri besar, yang meminta supaya dimasukkan sama ucapan menteri besar, manakala nama beberapa pembentang kertas kerja digugurkan dan digantikan dengan panelis lain.

"Ini termasuk pengguguran nama yang dipertua PUM sendiri, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin dan beberapa orang lagi, yang pada mulanya dijadual akan membentangkan kertas kerja masing-masing di seminar itum" tambahnya.

Katanya, ini berlaku kerana pejabat menteri besar meminta supaya seminar itu dianjurkan bersama oleh PUM dan kerajaan negeri.

Mahfuz juga mendakwa berlaku percanggahan dalam ucapan menteri besar dan titah Sultan Kedah sewaktu baginda merasmikan seminar ulama tersebut.

"Saya lihat ucapan menteri besar telah mengkritik ulama, manakala dalam titahnya, baginda sultan berkata ulama kena duduk tempat tinggi, tempat atas," tambahnya.