Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Datuk Hishamuddin Hussein Onn telah dingatkan supaya berhati-hati terhadap kemungkinan ada pihak yang "menangguk di air keruh" berikutan timbulnya spekulasi jawatan yang disandangnya mungkin dicabar dalam pemilihan parti yang akan datang.

"Seperti ada tanda-tanda yang menunjukkan ada pihak yang cenderung untuk berbuat demikian menjelang pemilihan parti yang akan datang,," kata sumber-sumber yang rapat dengan Umno.

Katanya, ini ditambah pula dengan kenyataan ketua penerangan Umno, Tan Sri Megat Junid Ayob baru-baru ini bahawa hanya jawatan presiden dan timbalan presiden sahaja yang tidak akan dipertandingkan dalam pemilihan parti yang akan datang.

"Oleh itu, tumpuan kini ialah kepada jawatan naib-naib presiden dan ketua pergerakan Pemuda Umno Malaysia yang kini disandang oleh Datuk Hisham," kata sumber-sumber Umno.

Ditanya mengenai permintaan Hishamuddin supaya diberhentikan spekulasi mengenai kemungkinan beliau akan dicabar oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, sumber-sumber itu berkata:

"Setahu saya, kempen ke arah itu masih berjalanmalah beberapa lamanweb politik masih memainkan isu itu, seolah-olah menjadi jurucakap kepada pemimpin berkenaan."

Laman web

Bagaimanapun, sumber-sumber itu enggan mengulas lanjut apabila ditanya nama laman-laman web terbabit dan 'pemimpin' yang dimaksudkannya itu.

"Mereka yang mengikuti perkembangan itu sudah pasti tahu laman web dan pemimpin yang saya maksudkan itu," tambahnya.

Ditanya sama ada jawatan ketua Pemuda Umno Malaysia akan dicabar dalam pemilihan parti nanti, beliau sekali berkata:

"Sepertimana yang saya katakan tadi, jawatan presiden dan timbalan presiden tidak akan dipertandingkan....jadi yang tinggal hanya naib presiden dan ketua pemuda...memang ada kemungkinan ianya akan dicabar."

Malah, katanya, para penyokong Hishumuddin kini tidak selesa apabila Dr Mohd Khir enggan "menafi atau mengiyakan" apabila ditanya oleh para pemberita baru-baru ini mengenai desas-desus yang beliau mungkin bertanding bagi jawatan ketua pemuda.

Ditanya mengenai kemungkinan wujudnya 'musuh dalam selimut' yang mungkin menjejaskan kedudukan Hishamuddin jika beliau dicabar dalam pemilihan parti yang akan datang, sumber-sumber berkata: "Inilah yang dibimbangi oleh para penyokong beliau."