Lawanweb Selangor Daily yang menjadi penyokong kuat kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo menafikan bahawa beliau berminat untuk bertanding jawatan ketua Pemuda Umno Malaysia.

Lidah pengarang lawanweb itu menyifatkan laporan mengenai kemungkinan Dr Khir mencabar Datuk Hishamuddin Hussein Onn bagi jawatan tersebut "sebagai usaha untuk melaga-lagakan kedua-dua pemimpin Pemuda Umno itu.

"Semua ini bertujuan untuk melemahkan sokongan terhadap Datuk Seri Khir di dalam pemuda. Yang hairannya , yang kecoh-kecoh adalah laman-laman web pembangkang dan bukan pula laman-laman web Umno," tambahnya.

Yang pastinya, kata Selangor Daily , sehingga hari ini, Dr Mohd Toyo tidak berminat dengan kerusi Ketua Pemuda Umno.

Sejak kebelakangan ini, telah timbul spekulasi mengenai kemungkinan Hishamuddin dicabar bagi jawatan ketua Pemuda sekiranya beliau tidak jadi bertanding jawatan naib presiden dalam pemilihan parti yang akan datang.

Turut dilaporkan bahawa cabaran itu mungkin datangnya daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, yang juga merupakan pengerusi biro agama Pemuda Umno.

Sokongan

Bagaimanapun, difahamkan, Dr Mohd Khir hanya berhasrat untuk merebut jawatan sekiranya berlaku kekosongan seandainya Hishamuddin bertanding jawatan naib presiden.

Bagaimanapun, khabar angin mengenai kemungkinan Dr Mohd Khir bertanding jawatan itu walaupun Hishamuddin tidak bertanding jawatan naib presiden, bertiup kencang apabila beliau enggan menafi atau mengiyakan pertanyaan wartawan mengenai perkara itu.

"Rakyat Selangor dan juga seluruh ahli Umno Selangor sudah masak dengan mainan politik ini, tidak kiralah ianya berasal dari dalam atau dari luar parti," tambah Selangor Daily.

Menurutnya lagi, banyak berita yang disiarkan dalam Internet mengenai pertandingan ini bertujuan supaya penyokong Hishamuddin dan penyokong naibnya, Aziz Sheikh Fadhil membenci menteri besar muda itu.

"Kini, beliau dilaga-lagakan sesama sendiri, dilagakan dengan ketua Pemuda Umno, kemudiannya dengan naib ketua pemuda pula bagi melemahkan sokongan terhadap Dr Mohd Khir dalam pemuda.

"Itu saja tujuan sebenar mereka. Tetapi pemuda Umno tidak lah sejumud mereka," tegas lamanweb itu sambil menambah bahawa serangan demi serangan terhadap Dr Mohd Khir telah menguatkan lagi sokongan rakyat Selangor terhadapnya.