Kerajaan Kedah akan menubuhkan sebelas cawangan Maktab Mahmud - sebuah sekolah agama yang terkenal dan tertua di negeri itu - dalam usahanya untuk membantu menyediakan tempat kepada guru-guru sekolah agama rakyat (SAR).

Menurut sumber-sumber kerajaan negeri, setakat ini lima cawangan Maktab Mahmud sudahpun diwujudkan bagi menempatkan sebahagian guru dan pelajar SAR dari kawasan sekitarnya.

Manakala baki penubuhan enam lagi cawangan Maktab Mahmud dijangka dapat dilakukan tidak lama lagi, tambahnya.

"Melalui usaha itu, kerajaan negeri yakin ia dapat menyediakan tempat kepada sebahagian guru-guru SAR untuk meneruskan karier mereka di sekolah kelolaan kerajaan," katanya kepada malaysiakini hari ini.

Oleh itu, tambahnya, adalah tidak benar jika ada pihak yang mendakwa yang kerajaan negeri tidak mengambil sebarang usaha positif bagi membantu guru dan pelajar SAR di negeri ini.

Beliau juga menafikan yang SAR masih menjadi isu besar di Kedah sepertimana yang didakwa oleh sesetengah pihak termasuk parti pembangkang.

Selain itu, katanya, ada beberapa pengusaha SAR di negeri ini yang bersetuju menyerahkan sekolah kelolaan mereka untuk ditadbirkan oleh kerajaan negeri.

Bantu guru

"Mereka berbuat demikian atas kesedaran bahawa kerajaan berniat baik untuk membantu memajukan sekolah mereka demi masa depan masyarakat Islam di Kedah.

"Majoriti rakyat Kedah tahu apa yang sedang berlaku di sini, termasuk usaha-usaha kerajaan untuk mengatasi masalah rakyat, termasuk isu SAR yang digembar-gemburkan oleh pihak pembangkang untuk mencari sokongan," tambahnya.

Sementara itu, Gerakan Bertindak Umat Selamatkan Sekolah Agama Rakyat (Gegar) pula kesal dengan tindakan kerajaan yang menurutnya, kini meletakkan pentadbir dan guru-guru SAR dalam keadaan serba-salah.

Dalam satu kenyataan, pengerusinya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata ini berikutan 20 guru sebuah sekolah agama, telah diberhentikan kerja kerana masalah kewangan kerana tidak lagi menerima bantuan perkapita daripada kerajaan.

Katanya, sekiranya kerajaan tidak mengembalikan bantuan perkapita tersebut, kejadian yang sama akan menimpa SAR yang lain.

Beliau juga mengesa Majlis Agama Islam negeri-negeri supaya membantu SAR yang kini menghadapi kekurangan guru, untuk mendapatkan bantuan kewangan yang diperlukan.