Program Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo bersama penduduk pangsapuri Jubli Perak di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi Ahad lalu berjalan lancar walaupun ada khabar angin bahawa ada pihak tertentu yang merancang untuk menggagalkan majlis tersebut.

Ahli Parlimen Kawasan Hulu Langat, Datuk Badrul Hisham Abdul Aziz mendakwa beliau diberitahu ada pihak yang mengadakan bermesyuarat dan merancang untuk "menggempur" majlis itu tersebut.

Bagaimanapun, katanya, majlis pada hari itu yang dihadiri lebih 1,000 penduduk di situ, berjalan lancar seperti yang dijadualkan.

Malah, katanya, ketibaan menteri besar disambut dan diiringi ke majlis itu oleh 180 penunggang motosikal.

"Majlis bermula kira-kira jam 12 tengah hari. Selepas itu Datuk Seri Dr Khir bersembahyang Zohor di bangunan surau baru Jubli Perak ( kanan )," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Pangsapuri Jubli Perak mendapat perhatian ramai sebelum ini berikutan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melarang penduduk di situ daripada mengerjakan solat Jumaat di surau lama di situ.

Peruntukan tambahan

Pada 1995, Jais telah memberi kebenaran sementara kepada penduduk di situ untuk mengerja solat Jumaat di surau berkenaan sehingga masjid baru di Bandar Baru Bangi siap dibina.

Bagaimanapun, penduduk terbabit terus mengerjakan solat Jumaat di situ sehingga memaksa Jais bertindak meruntuhkan dinding surau tersebut yang terletak di bawah bangunan salah sebuah pangsapuri di situ.

Sebagai gantinya, sebuah surau baru berharga RM200,000 telah dibina di situ dan kini sudah boleh digunakan. Manakala penduduk di situ dibenarkan mengerjakan solat Jumaat di Surau al-Kausar yang berhampiran di situ.

Kerajaan negeri juga mendakwa yang surau itu telah digunakan oleh parti pembangkang untuk meluaskan pengaruhnya di situ, termasuk tindakan membaca kutbah yang bukan disedikan oleh jabatan itu.

Februari lalu, dalam operasi mencegah solat Jumaat diadakan di surau Jubli Perak, pihak Jais menahan seorang lelaki serta merampas peralatan surau. Operasi itu disertai polis dan Majlis Perbandaran Kajang.

Menurut Badrul lagi, dalam ucapannya, Dr Mohd Khir juga mengumumkan peruntukan RM200,000 untuk memperbesarkan surau al-Kausar untuk kemudahan umat Islam di situ beribadat.