Beberapa exco Pemuda Umno dikatakan sedang memainkan peranan untuk 'mempengaruhi' ketua pergerakan itu, Datuk Hishamuddin Hussein Onn supaya menerima cadangan untuk bertanding bagi jawatan naib presiden dalam pemilihan parti akan datang.

Tindakan mereka itu bertujuan untuk memastikan berlaku kekosongan bagi jawatan ketua Pemuda Umno bagi memberi laluan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo untuk menerajui pergerakan itu.

Ini merupakan perancangan seterusnya daripada penyokong Dr Khir untuk memujuk Hisham kerana penyokong kuat ketua Pemuda Umno itu, tidak mahu beliau mengambil risiko untuk mencuba nasib bagi jawatan naib presiden.

"Bagaimanapun, setahu saya, Datuk Hisham tidak pernah memberi sebarang komitmen untuk bertanding jawatan naib presiden," kata sumber-sumber yang rapat dengan Hisham.

Kerana itulah, katanya, exco-exco berkenaan memberi jaminan bahawa mereka dan kepimpinan Umno Selangor akan bekerja keras bagi memastikan Hisham memenangi salah satu kerusi naib presiden.

Malah, katanya, mereka juga memberi jaminan bahawa Majlis Belia Malaysia (MBM) pimpinan Dr Mohd Khir akan turut sama berusaha bagi memastikan kemenangan Hisham bagi jawatan tersebut.

Jaminan

"Bagi kami, ianya hanya satu usaha untuk 'menggula-gulakan' Datuk Hisham supaya kerusi ketua Pemuda Umno akan dikosong bagi memudahkan Dr Mohd Khir menduduki kerusi tersebut," tambahnya.

Menurut sumber-sumber itu lagi, sehingga hari ini, pihaknya tetap dengan pendirian mereka tidak membenarkan Hisham bertanding kerusi naib presiden dan menghadapi risiko kehilangan jawatan dalam parti, terutama dalam Pemuda Umno.

"Inilah yang kami tidah faham. Siapakah mereka untuk memberi jaminan bahawa Datuk Hisham boleh menang naib presiden. Malah, Dr Mohd Khir sendiri belum tentu lagi kekal sebagai menteri besar Selangor selepas pilihanraya umum nanti," katanya.

Menurut sumber-sumber itu lagi, kalaulah mereka merasakan Dr Mohd Khir perlu mengisi jawatan ketua Pemuda Umno kerana kedudukan beliau sebagai menteri besar sekarang, maka alasan itu masih belum lagi boleh diterima.

"Mereka mesti ingat, pemilihan parti hanya akan diadakan selepas pilihanraya umum akan datang. Apakah mereka begitu pasti yang Dr Mohd Khir akan kekal sebagai menteri besar selepas pilihanraya umum itu nanti.

Spekulasi

"Bagaimana kalau beliau tidak lagi menjadi menteri besar, jadi apakah beliau masih layak untuk bertanding jawatan ketua Pemuda Umno? Semua ini perlu mereka fikirkan masak-masak sebelum membuat andaian sebegitu," tambahnya.

Sejak kebelakangan ini, telah timbul spekulasi mengenai kemungkinan Hisham dicabar bagi jawatan ketua Pemuda sekiranya beliau tidak jadi bertanding jawatan naib presiden dalam pemilihan parti yang akan datang.

Turut dilaporkan bahawa cabaran itu mungkin datangnya daripada Dr Mohd Khir yang juga merupakan pengerusi biro agama Pemuda Umno.

Bagaimanapun, difahamkan, Dr Mohd Khir hanya berhasrat untuk merebut jawatan sekiranya berlaku kekosongan seandainya Hishamuddin bertanding jawatan naib presiden.

Bagaimanapun, khabar angin mengenai kemungkinan Dr Mohd Khir bertanding jawatan itu walaupun Hishamuddin tidak bertanding jawatan naib presiden, bertiup kencang apabila beliau enggan menafi atau mengiyakan pertanyaan wartawan mengenai perkara itu.