Pemuda Umno mempunyai wadahnya tersendiri untuk berhubung dengan golongan pelajar universiti, dan oleh itu tidak perlu baginya untuk menghadiri majlis debat anjuran mahasiswa pusat pengajian tinggi (IPT).

"Pemuda Umno lebih senang mengadakan perbincangan yang lebih berhemah daripada menghadiri forum tersebut yang sentiasa berkesudahan dengan wakil kami menjadi tempat mereka melepaskan geram kepada kerajaan," kata sumber-sumber pergerakan itu ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Malah, katanya, pengalaman lalu membuktikan yang pengerusi majlis selalu gagal mengawal para pelajar yang bersikap terlalu emosional apabila mengemukakan soalan yang mengkritik kerajaan.

Sebaliknya, kata beliau, pemuda Umno melalui biro pendidikannya sudah lama menjalin hubungan baik dengan golongan pelajar di IPTA khususnya melalui projek abang angkat yang sehingga ini mendapat sambutan menggalakkan.

Hisham tak hadir

Beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas laporan dalam beberapa lamanweb yang mengkritik ketua Pemuda Umno, Datuk Hishamuddin Tun Hussein Onn, yang didakwa sentiasa gagal menghadirkan diri dalam program debat anjuran mahasiswa.

Laporan itu menyifatkan sikap Hishamuddin itu amat bertentangan dengan saranan Menteri Pembangunan dan Usahawan, Datuk Seri Abdul Nazri Aziz, yang menggalakkan penganjuran debat terbuka antara kerajaan dan pembangkang.

Terbaru ialah kegagalan Hishamuddin hadir di majlis debat terbuka antara kerajaan dan pembangkang anjuran Sekretariat Pelajar Persatuan Ulama Malaysia (SPPUM) Sabtu lalu.

Bagaimanapun, majlis tersebut bertajuk 'Kelesuan Mahasiswa Mitos atau Realiti' berjalan lancar dengan disertai oleh Ketua Pemuda PAS, Mahfuz Omar; Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Suhaimi Ibrahim; Setiausaha Agung Parti Keadilan, Mustafa Kamil Ayub dan Presiden Badan Bertindak Mahasiswa Negara, Fazli Ramli.

Perbincangan berhemah

Menurut pihak penganjur, alasan yang diberikan oleh Hishamuddin ialah beliau mempunyai program ''Pemuda Masuk Kampung'' di Permatang Pauh, Pulau Pinang ( gambar ).

Debat tersebut yang mendapat sambutan menggalakkan daripada kalangan mahasiswa dipengerusikan oleh seorang pensyarah Universirti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Nazri Chik.

Menurut sumber itu lagi, ini terbukti apabila kebanyakan para pelajar menjadikan Suhaimi sebagai `wakil kerajaan' untuk menjawab pelbagai soalan semasa sesi soal jawab.

"Pemuda Umno mengambil pendekatan secara dalaman, ada program abang angkat, di samping mengadakan perbincangan secara berhemah. Ini lebih baik daripada berhujah melalui majlis debat anjuran persatuan mahasiswa yang kita tdiak tahu ke mana kesudahannya," tambahnya.

Bagaimanapun, sumber itu mengakui bahawa mereka yang didekati pergerakan itu merupakan golongan 'minoriti' yang kehadirannya tidak begitu menonjol sepertimana mereka yang bertanggungjawab menganjurkan debat awam tersebut.

"Lagi pula telah ditubuhkan jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang turut dianggotai pemimpin persatuan pelajar di IPT.

"Jika ada masalah atau persoalan yang hendak dibangkitkan, salurkan melalui jawatankuasa tersebut...tak payahlah hendak dijadikan isu dalam debat awam," tambahnya.