Proses pemilihan bakal calon timbalan presiden PAS yang baru nampaknya semakin rumit apabila majlis syura yang sepatutnya diadakan malam ini antara semua calon bagi jawatan itu, telah ditangguhkan hingga ke pagi esok.

Menurut sumber-sumber dalam jawatankuasa pemilihan parti, majlis syura yang sama bagi pemilihan jawatan penting Dewan Muslimat PAS pusat yang sepatutnya berlangsung malam tadi, juga ditangguhkan hingga ke malam ini.

Seramai 13 orang telah dicalon oleh PAS Kawasan (bahagian) bagi jawatan timbalan presiden. Sehingga ini, hanya seorang, iaitu Datuk Dr Hassan Ali, yang kini merupakan naib presiden PAS, telah menarik diri secara rasmi.

Pemilihan tersebut akan dibuat dalam muktamar PAS yang akan berlangsung di Markas PAS pusat di Taman Melewar, Gombak. Persidangan Dewan Pemuda PAS akan berlangsung esok, manakala Dewan Muslimat pada hari Jumaat. Muktamar PAS pusat pula berlangsung Sabtu ini.

Muktamar itu juga akan mengesahkan perlantikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden PAS yang baru.

Jumlah pencalonan yang ramai itu dipercayai berikutan kenyataan Hadi sebelum ini bahawa beliau tidak akan menghalang sekiranya berlaku pertandingan bagi semua jawatan termasuk jawatan tertinggi dalam parti itu dalam muktamar kali ini.

Calon popular

Katanya, terserahlah kepada kawasan untuk membuat pencalonan bagi semua jawatan dan sekiranya terdapat lebih daripada satu pencalonan, pengundian akan diadakan.

Ini merupakan kali pertama jawatan timbalan presiden PAS dipertandingkan sejak Hadi dilantik ke jawatan tersebut berikutan perlantikan allahyarham Datuk Fadzil Noor sebagai presiden PAS pada 1989.

Antara 12 orang dicalonkan untuk jawatan timbalan presiden kali ini, termasuklah Ustaz Hassan Shukri, Datuk Mustafa Ali - kedua-duanya naib presiden PAS - dan Datuk Dr Harun Din.

Walaupun, naib presiden Datuk Mustafa Ali, yang juga Ahli Exco Kerajaan Terengganu, merupakan calon popular untuk jawatan itu, tetapi malaysiakini difahamkan yang beliau tidak mendapat undi tertinggi.

Sebaliknya, undi terbanyak dari PAS Kawasan diperolehi oleh seorang lagi naib presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri.

Ini mungkin berikutan kenyataan awal Mustafa yang menyatakan beliau tidak bersedia untuk dipilih sebagai timbalan presiden PAS yang menurutnya patut disandangkan oleh golongan ulama dalam parti itu.

Pemuda tiada masalah

Bagaimanapun, sewaktu tarikh tutup penerimaan calon beberapa hari lalu, hanya Dr Hassan sahaja yang menarik diri, manakala Mustafa, Hassan dan calon-calon lain tidak berbuat demikian.

Berikutan itu, ramai di kalangan ahli PAS yang tidak menolak kemungkinan Ustaz Hassan ( gambar ), yang merupakan pesuruhjaya PAS Selangor, akan dipilih dalam mesyuarat syura esok sebagai timbalan presiden PAS yang baru. Beliau juga merupakan senator Dewan Negara.

Pertandingan juga dijangka hebat bagi jawatan naib presiden di mana 20 orang telah dicalonkan untuk menyandang jawatan tersebut.

Selain penyandang sekarang, antara calon popular bagi jawatan tersebut ialah bekas ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Mahfuz Omar dan setiausaha agung PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa.

Mahfuz juga merupakan ahli Parlimen Pokok Sena, manakala Nasharuddin pula adalah wakil rakyat PAS bagi Kawasan Yan.

Dewan Muslimat

Pertandingan sengit juga dijangka berlaku dalam pemilihan bagi jawatan penting dalam Dewan Muslimat PAS pusat.

Sehingga ini, malaysiakini difahamkan semua jawatan tertinggi Dewan Muslimat termasuk jawatan ketuanya, yang dikini disandang oleh Ustazah Hajah Fatimah Ibrahim, akan dipertandingkan.

Difahamkan, Muslimat kawasan telah mencalonkan Hajah Jamilah Ibrahim, yang pernah memimpin Dewan Muslimat sebelum diambil oleh Hajah Fatimah.

Turut dicalon bagi merebut jawatan tertinggi Dewan Muslimat ialah penyokong kuat Hajah Jamilah, termasuk Dr Lo' Lo' Ghazali dan Dr Siti Mariah Mahmud, kedua-duanya merupakan ahli jawatankuasa PAS pusat.

Bagaimanapun, majlis syura antara mereka yang dicalon bagi jawatan penting dalam Dewan Muslimat akan diadakan pada malam ini bagi mencari kata sepakat, bagi berlaku pertandingan sesama mereka.

Bagaimanapun Dewan Pemuda PAS pusat tidak menghadapi masalah bagi pemilihan ketuanya yang baru, apabila hanya timbalan dewan itu, Sallahuddin Ayub ( kiri ) dicalonkan bagi jawatan tersebut.

Bagaimanapun, dua orang dicalonkan untuk mengisi jawatan timbalan ketua - iaitu naib ketuanya, Ustaz Idris Omar serta setiausaha dewan pemuda PAS, Mohd Misbahul Munir Masduki.