Kejayaan Senator Hassan Shukri memperolehi pencalonan terbanyak dan seterusnya memenangi persaingan untuk jawatan timbalan presiden PAS disifatkan sebagai mencerminkan kehendak sebenar ahli akar umbi PAS.

Menurut sumber-sumber, keputusan itu menunjukkan bahawa usaha untuk menonjolkan Datuk Dr Harun Din bagi jawatan timbalan presiden hanya diputuskan di kalangan pemimpin parti, tanpa mengambilkira sentimen penerimaannya di peringkat akar umbi.

"Kerana itulah ada di kalangan pemimpin PAS yang terperanjat apabila mengetahui Ustaz Hassan mendapat pencalonan terbanyak berbanding dengan calon popular, Datuk Mustafa Ali dan Dr Harun," katanya.

Hassan berjaya memperolehi 531 undi untuk memenangi jawatan tersebut, dengan menewas Mustafa ( kiri ) yang memperolehi 398 undi, selepas Dr Harun ( kanan )menarik diri selepas mesyuarat syura antara calon-calon gagal mencapai kata sepakat untuk mengelak berlaku pertandingan bagi jawatan tersebut.

Katanya, walaupun sebelumnya, peluang Hassan untuk memenangi jawatan tersebut adalah agak tipis, tetapi difahamkan sokongan mendadak terhadap beliau, juga merupakan penolakan para perwakilan terhadap usaha menjadikan Dr Harun sebagai timbalan presiden yang baru.

"Jika pemilihan Ustaz Hassan semata-mata kerana perwakilan mahukan ulama memegang jawatan kedua tertinggi dalam parti itu, maka Dr Harun juga seorang ulama. Tetapi mengapa beliau tidak mendapat pencalonan seperti sepatutnya," tambah sumber-sumber itu.

Dr Harun bagaimanapun menarik diri sehari sebelum muktamar PAS pusat bermula hujung minggu lalu, dengan alasan beliau, pada mulanya, bersetuju dicalonkan kerana difahamkan tiada pertandingan untuk jawatan kedua tertinggi parti itu

Ini kerana sebelum itu, beliau disebut-sebut sebagai calon kompromi selepas Mustafa - calon popular bagi jawatan tersebut - keberatan menerimanya kerana berpendapat beliau bukan seorang ulama.

Hirarki parti

Menurut sumber-sumber itu lagi, keputusan pemilihan bagi jawatan timbalan presiden juga mencerminkan kehendak perwakilan yang mahu mengekalkan tradisi memberi peluang kepada pemimpin kanan parti untuk memegang jawatan lebih tinggi.

"Oleh itu, selain pemilihan Ustaz Hassan itu mencerminkan pendirian ahli-ahli supaya jawatan nombor dua parti itu disandang oleh golongan ulama, ia juga dibuat mengikut hirarki parti di mana Hassan dan Mustafa adalah pemimpin terkanan PAS," tambahnya.

Menurutnya lagi, satu lagi faktor penyumbang ialah kemampuan PAS Selangor pimpinan Hassan untuk merampas empat kerusi Dewan Undangan Negeri (Adun) di negeri itu - Kajang, Sungai Burung, Sungai Besar dan Gombak Setia dalam pilihanraya umum akan datang.

Di samping itu, persempadanan semula kawasan pilihanraya juga telah mencerahkan lagi harapan Barisan Alternatif (BA) untuk membuat kejutan di 33 dari 56 kawasan Dewan Undangan Negeri di Selangor.

"Begitu juga dengan kejayaan pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak memenangi salah satu kerusi naib presiden. Ia juga mencerminkan penghargaan para perwakilan terhadap kejayaan PAS Kedah menawan lapan kerusi Parlimen dan 12 kerusi negeri dalam pilihanraya umum 1999," tegasnya..

Selain itu, katanya, pemilihan Azizan yang juga merupakan ketua penerangan PAS pusat, juga dilihat sebagai sebahagian daripada percaturan PAS untuk merampas Kedah dalam pilihanraya umum akan datang.

"Kalau dilihat sejarah kemenangan PAS di Kelantan dan Terengganu, ia juga ada kaitan dengan kedudukan Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat selaku mursyidul am PAS, manakala Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula adalah timbalan presiden PAS. Mungkin inilah percaturan PAS di Kedah kali ini," tambahnya.